KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta mempertimbangkan pemberian peluang kedua dan pelepasan secara automatik terhadap individu yang dikenakan tindakan kes muflis di bawah RM100,000.
Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan berkata, perkara ini penting bagi mengurangkan jumlah rakyat Malaysia yang muflis akibat tertekan dengan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, inisiatif kerajaan menambah baik Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Pindaan 2023 di mana pelaksanaan mekanisme pelepasan individu daripada kebankrapan secara automatik dan dalam tempoh singkat serta had muflis RM50,000 ketika ini dinaikkan kepada RM100,000 sangat tepat.
“Namun, saya memohon supaya pihak kerajaan turut membuat kajian terperinci untuk mempertimbangkan pemberian peluang kedua dan pelepasan secara automatik bagi kes nilainya kurang RM100,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Insolvensi Pindaan 2023 di Dewan Negara, di sini semalam.
Bobbey berkata, menjadi muflis sangat menyusahkan kerana individu terbabit tiada lagi kuasa terhadap kewangan sendiri, malah aset milik mereka mungkin dilelong untuk melangsaikan hutang.
“Mereka yang muflis akan berada di bawah pengawasan Ketua Pengarah Insolvensi dan berdepan beberapa sekatan seperti akaun simpanan dan pelaburan dibekukan.
“Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan keluar negara dan tidak boleh berbelanja lebih RM1,000 menggunakan kad kredit,” katanya.
Malah katanya, semua aset seperti rumah dan kereta besar kemungkinan akan disita dan dilelong untuk membayar balik hutang.
“Walaupun mereka yang muflis masih perlu bekerja untuk melangsaikan hutang berkenaan, gaji yang diterima sebahagian besar akan diperuntukkan untuk membayar hutang,” katanya.
Katanya, menurut statisik kes kebankrapan dari tahun 2019 hingga Mei 2023 yang diterbitkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman peribadi menjadi punca utama muflis disebabkan kadar faedah yang tinggi.
“Sebahagian besar pinjaman berkenaan diambil untuk membeli perkara tidak perlu atau di luar kemampuan.
“Ada juga yang mengambil pinjaman peribadi dan menggunakan kad kredit untuk tujuan bermewah-mewahan semata-mata.
“Justeru, mereka yang gagal mengurus dan mengambil hutang berdasarkan kemampuan semasa dan tidak melihatnya sebagai satu komitmen jangka panjang menjadi punca utama diisytihar bankrap,” katanya.
Bobbey berkata, dalam Tekad Kedua Belanjawan Madani 2023 iaitu reformasi institusi dan tatakelola baik bagi memulih keyakinan melalui Ikhtiar yang ke-5 iaitu pembaharuan sektor awam, di bawah Sub-Ikhtiar ke-4 menangani isu-isu rakyat, kerajaan telah mengumumkan rakyat yang diisytiharkan muflis berhak mempunyai peluang kedua.
“Kerajaan akan meminda Akta Insolvensi 1967 supaya kes muflis dapat dilepaskan secara automatik pada masa yang singkat.
“Sementara menunggu pindaan, kes-kes kecil yang hutangnya kurang RM50,000 dan memenuhi syarat akan dilepaskan serta-merta bermula 1 Mac lalu,” katanya.
— TAMAT
Add Comment