TAWAU: Kerajaan diminta supaya mewujudkan lebih banyak Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di negeri ini bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keperluan menambah bilangan Tabika KEMAS di Sabah memang sangat diperlukan ketika ini.
Katanya, Tabika KEMAS di negeri ini masih terlalu kurang, sedangkan jumlah kanak-kanak terutamanya di kawasan luar bandar yang mahu mendapatkan pendidikan awal semakin bertambah.
“Masalah logistik di negeri ini yang sangat terbatas juga menyebabkan penduduk luar bandar sukar menghantar anak mereka mendapat pendidikan awal di kawasan bandar.
“Justeru, kita sudah memohon supaya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menambah bilangan kelas Tabika KEMAS di kawasan luar bandar khususnya di Parlimen Tawau,”katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian dalam Majlis Perasmian Penutupan Hari Potensi Tabika/Taska KEMAS Peringkat Parlimen Tawau, di sini hari ini.
Menurutnya, KKDW juga perlu mengambil inisiatif untuk menaik taraf kelas dan kemudahan Tabika KEMAS bagi keselesaan murid-murid di sekolah ini.
“Kita melihat masih banyak kelas-kelas Tabika KEMAS yang memerlukan pelbagai kemudahan termasuklah bangunan sekolah yang sedia ada.
“Kerajaan negeri juga akan melihat bentuk bantuan yang akan diberikan bagi menambah baik kemudahan Tabika KEMAS di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Nizam menzahirkan penghargaan terhadap pengurusan dan warga pendidik Tabika KEMAS yang selama ini banyak berkorban mendidik modal insan di negeri ini.
Katanya, peranan Tabika KEMAS dalam melahirkan modal insan yang berpendidikan terutamanya di kawasan luar bandar sangat berkesan dan terbukti.
“Banyak jasa dan bakti yang disumbangkan oleh Tabika KEMAS sejak dari dahulu lagi serta antara pelopor bagi pendidikan awal kanak-kanak di negara ini.
“Justeru, saya menyeru semua pihak terutamanya ibu bapa supaya memberikan sokongan terhadap semua aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak Tabika KEMAS,” katanya.
Turut hadir, Pegawai KEMAS Tawau, Mohamad Yusli Nasir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Apas, M Aziriansyah Ali dan Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, Dr Najamuddin Bachora.
— Hamzah Sanudin
Add Comment