KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menyifatkan Belanjawan Negara 2027 sebagai belanjawan komprehensif yang bukan sahaja mampu meringankan beban kewangan rakyat, malah mencerminkan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara.
Beliau berkata, pelbagai langkah yang diumumkan menerusi belanjawan itu — termasuk pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan masyarakat secara keseluruhannya — dijangka memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya melihat belanjawan ini memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pengurangan cukai serta pemberian insentif kepada penjawat awam, golongan peniaga dan semua lapisan masyarakat.
“Ia juga membuktikan kekukuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara kita, walaupun berdepan dengan kesan krisis yang sedang berlaku di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan siaran langsung pembentangan Belanjawan Negara 2027 di Menara Kinabalu, di sini, Jumaat.
Belanjawan berkenaan dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pembentangannya, Anwar mengumumkan Sabah kekal sebagai penerima peruntukan Persekutuan terbesar dengan jumlah RM18.6 bilion bagi 2027, berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini.
Peningkatan peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan dalam menyokong agenda pembangunan dan keperluan rakyat Sabah.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM3.3 bilion bagi meneruskan projek pembangunan jalan raya di Sabah dan Sarawak.
Dalam sektor pendidikan pula, Kerajaan Persekutuan bersetuju menggandakan jumlah tawaran tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar dari kedua-dua negeri.
Langkah itu dijangka membuka peluang kepada 4,200 pelajar Sabah dan Sarawak setiap tahun untuk melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi menerusi tajaan berkenaan.
Sementara itu, bagi memperkukuh kestabilan sistem bekalan elektrik di Sabah, Anwar mengumumkan pelaksanaan pemasangan sistem Static Synchronous Compensator (STATCOM) di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud dengan kos RM204 juta.
Projek Talian Penghantaran Southern Link turut diteruskan sebagai langkah jangka panjang bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan menjamin kesinambungan bekalan elektrik di negeri ini.
Turut menyaksikan siaran langsung pembentangan belanjawan berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; pembantu-pembantu menteri serta pegawai kanan Kerajaan Negeri.

























Add Comment