KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan kemenangan lebih 15 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi memperkukuh suara dan solidariti Sabah di peringkat Persekutuan.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata berdasarkan simulasi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, gabungan itu dilihat berpotensi memenangi antara 14 hingga 15 kerusi Parlimen.
Bagaimanapun, beliau berkata GRS menyasarkan pencapaian lebih tinggi supaya suara Sabah dapat dibawa dengan lebih kuat dan berkesan di Parlimen.
Menurutnya, susulan kemasukan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), GRS kini mempunyai tujuh Ahli Parlimen, manakala prestasi serta sokongan diterima pada PRN lalu memberi asas kepada gabungan itu untuk menetapkan sasaran lebih besar.
“Itulah sebabnya sasaran dan gerak kerja kita diputuskan supaya lebih strategik dan berfokus, dengan mengekalkan sokongan sedia ada serta menambah kekuatan supaya kita mempunyai suara yang lebih kuat di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di sini, hari ini.
Ditanya sama ada GRS akan menggunakan formula kerjasama yang sama seperti PRN lalu bagi menghadapi PRU akan datang, Armizan berkata gabungan itu perlu meneliti dan mengambil kira suara rakyat Sabah yang diterjemahkan menerusi keputusan pilihan raya berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata GRS perlu mengambil kira kepentingan mengekalkan kesepaduan dan kestabilan kerajaan negeri berdasarkan komposisi semasa pentadbiran Sabah.
“Politik sangat dinamik, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang. Sebab itu keutamaan kita buat masa ini adalah untuk memperkukuh GRS.
“Kita juga melihat dinamika politik yang berlaku di Semenanjung Malaysia antara parti-parti utama yang mungkin mempengaruhi bentuk kerjasama di peringkat negeri kelak,” katanya.
Armizan berkata, GRS mahu kestabilan kerajaan negeri terus dipertahankan, namun pada masa sama mesej dan kehendak rakyat yang dizahirkan menerusi PRN lalu tidak boleh diketepikan.
“Yang paling penting, rumah kita sendiri perlu kita kemaskan dan perkukuhkan,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata parti-parti komponen GRS turut mengemukakan pandangan awal dan beberapa syor untuk dipertimbangkan dalam penyediaan Belanjawan Negeri Sabah 2027.
Menurutnya, Hajiji memberi ruang kepada semua parti komponen untuk mengemukakan cadangan secara bertulis kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Beliau berkata, masih terdapat masa untuk pandangan dan cadangan berkenaan diperincikan sebelum belanjawan negeri dimuktamadkan.
Armizan berkata, kerajaan negeri menyasarkan peningkatan hasil yang dijangka menyediakan ruang fiskal tambahan bagi membolehkan peruntukan disalurkan kepada sektor dan isu utama mengikut keutamaan negeri.
Pada masa sama, beliau berkata aspek tadbir urus perbelanjaan perlu terus diberi perhatian bagi memastikan setiap peruntukan dibelanjakan secara berhemah, berkesan dan berdasarkan keutamaan.

























Add Comment