KOTA KINABALU: Pendekatan menerusi sukan terus dimanfaatkan sebagai medium mendekati golongan belia dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta menggalakkan gaya hidup sihat dan positif.
Usaha itu diterjemahkan menerusi Kejohanan Futsal SKUAD ANTIDADAH Kota Kinabalu 2026 yang berlangsung selama dua hari di Arena Futsal, Kompleks Sukan Tun Adnan, di sini.
Kejohanan anjuran SKUAD ANTIDADAH Kota Kinabalu itu menghimpunkan 32 pasukan, membabitkan 20 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita.
Majlis perasmian kejohanan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi, pada Sabtu di sini.
Turut hadir Pengerusi SKUAD ANTIDADAH Negeri Sabah, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan; Pengerusi SKUAD ANTIDADAH Daerah Tawau merangkap Pengerusi Kelab Dua Roda Bersatu (KDRB), Rudhi Heriyanto Ghazali; barisan Pengerusi SKUAD ANTIDADAH Daerah; serta Ahli Jawatankuasa SKUAD ANTIDADAH Negeri Sabah.

Penganjuran kejohanan berkenaan mengetengahkan pendekatan pencegahan penyalahgunaan dadah menerusi sukan, dengan futsal dijadikan medium untuk mendekati belia dan menggalakkan mereka mengisi masa dengan aktiviti yang sihat serta bermanfaat.
Pada masa sama, peserta turut diberikan penerangan mengenai peluang menyertai SKUAD ANTIDADAH Kota Kinabalu sebagai sukarelawan bagi memperluas penglibatan golongan muda dalam aktiviti pencegahan dadah berasaskan komuniti.
Penglibatan dalam sukan bukan sahaja membantu meningkatkan kecergasan fizikal, malah menjadi platform untuk membentuk nilai disiplin, kerjasama berpasukan, kepimpinan, semangat kesukanan dan daya saing yang positif dalam kalangan belia.
Pendekatan berasaskan komuniti itu turut membuka ruang interaksi lebih dekat antara SKUAD ANTIDADAH, belia dan masyarakat — sekali gus membolehkan mesej mengenai bahaya penyalahgunaan dadah disampaikan dalam suasana yang lebih santai dan mesra.
Penganjuran kejohanan itu juga mencerminkan kepentingan kerjasama pelbagai pihak termasuk pertubuhan belia, komuniti, sektor swasta dan rakan strategik dalam memperkukuh usaha pencegahan dadah.
Penganjur berharap program seumpama itu dapat diteruskan dan diperluaskan bagi menyediakan lebih banyak ruang kepada golongan belia menyertai aktiviti yang membina, produktif dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Dengan membawa semangat “Cegah Lebih Baik”, kejohanan berkenaan diharap dapat menyumbang kepada pembentukan generasi belia yang cergas, berdisiplin, berdaya saing, mempunyai jati diri serta bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Kejohanan itu mendapat sokongan DanaSafe Group selaku penaja utama, selain kerjasama SKUAD ANTIDADAH Negeri Sabah, Majlis Belia Sabah, Bateriku.Com, Harapan Maju Sdn Bhd, Kura Kura Sticker, Daeng Function Sound System dan Muk’s Corner sebagai rakan strategik.
Kerjasama peserta, pengurusan pasukan, urus setia, sukarelawan dan komuniti setempat turut menyumbang kepada kelancaran penganjuran kejohanan berkenaan.

























Add Comment