KOTA KINABALU:Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) perlu terus mempertingkatkan peranannya dalam penyediaan pendidikan akademik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri dan pasaran pekerjaan yang semakin berkembang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata sebagai institusi pendidikan yang mempunyai hubungan rapat dengan agenda pembangunan modal insan Yayasan Sabah, KTYS perlu kekal responsif terhadap perubahan industri, perkembangan teknologi dan keperluan tenaga kerja negeri.
Beliau berkata, pasaran pekerjaan hari ini bukan sahaja menuntut kecemerlangan akademik, malah memerlukan tenaga kerja yang memiliki kemahiran teknikal tinggi, pemikiran kritikal serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Di sinilah peranan institusi seperti KTYS menjadi sangat penting.
“Pihak pengurusan dan seluruh warga KTYS perlu terus meningkatkan mutu program pendidikan dan latihan dengan sentiasa mengambil kira perkembangan industri serta keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Jadikan perkembangan graduan sebagai salah satu ukuran penting keberkesanan program yang ditawarkan.
“Pengalaman alumni dalam pekerjaan dan pengajian lanjutan serta maklum balas pihak industri dan majikan perlu dimanfaatkan untuk menambah baik program pengajian dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Konvokesyen KTYS Ke-29 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata graduan KTYS sebagai ejen perubahan mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada kemajuan negeri yang stabil, mampan dan memberi impak jangka panjang.
Pada masa sama, beliau berkata pihak industri perlu turut memainkan peranan dengan menyediakan peluang latihan, bimbingan, pendedahan serta pengalaman kerja kepada pelajar bagi mempersiapkan mereka menghadapi alam pekerjaan.
Beliau berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan turut diterjemahkan menerusi Belanjawan Sabah 2026 dengan peruntukan sebanyak RM437.93 juta bagi memperkasa pembangunan modal insan, merangkumi aspek akademik dan spiritual.
“Tahun ini juga menandakan tahun pertama pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0. Komitmen ini perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh rakyat.
“Ukuran kejayaannya adalah sejauh mana lebih ramai anak Sabah berpeluang melanjutkan pengajian, menguasai kemahiran dan memperoleh pekerjaan yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Menurut Hajiji, Kumpulan Yayasan Sabah terus memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat berkenaan menerusi pelbagai bentuk sokongan pendidikan kepada anak Sabah, termasuk biasiswa dan pinjaman pengajian.
Beliau berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) pula telah menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, yang memberi manfaat secara langsung kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri.
Dalam pada itu, Hajiji mengingatkan graduan bahawa konvokesyen bukanlah titik akhir kepada proses pendidikan, sebaliknya permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan ekonomi negeri.
“Jagalah nama baik diri, keluarga dan KTYS menerusi tindakan serta sumbangan saudara dan saudari. Jadilah individu yang boleh dipercayai, berintegriti dan bersedia memikul tanggungjawab apabila berada di luar sana.
“Memasuki alam pekerjaan, gunakanlah segala ilmu yang diperoleh sepanjang berada di KTYS untuk berinovasi,” katanya.

























Add Comment