Home » Momentum sudah ada, semua pihak perlu main peranan: Azrul
Berita Gagasan Rakyat • Politik

Momentum sudah ada, semua pihak perlu main peranan: Azrul

PENGHARGAAN: Azrul menerima cenderamata daripada penganjur selepas menyampaikan ucaptama pada BICBEEM 2026 di Raia Hotel, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU:Momentum pembangunan Sabah perlu dipacu secara kolektif dengan penglibatan sektor perniagaan, institusi pendidikan, ahli akademik, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat bagi memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat kepada rakyat.

Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim, berkata pembangunan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kini berada pada landasan positif dengan pelbagai agenda dan inisiatif sedang dilaksanakan.

Menurutnya, perkara paling penting ialah Sabah kini mempunyai perancangan dan hala tuju yang jelas untuk membawa negeri ke tahap pembangunan lebih tinggi.

“Momentum pembangunan negeri mesti digerakkan bersama oleh semua pihak. Sektor perniagaan, institusi pendidikan, ahli akademik, pemain industri, golongan profesional dan masyarakat perlu bergerak seiring.

“Kita perlu memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat diterjemahkan kepada hasil yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada 1st Borneo International Congress for Business, Education, Economics & Management (BICBEEM) 2026 di Raia Hotel, pada Rabu, di sini.

Azrul berkata, sektor pendidikan dan ekonomi tidak boleh bergerak secara berasingan kerana kedua-duanya saling melengkapi dalam membangunkan negeri.

Beliau berkata, institusi pendidikan perlu memainkan peranan melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran, manakala sektor perniagaan pula perlu lebih berani meneroka peluang serta bidang pertumbuhan baharu.

Pada masa sama, ekosistem yang menyokong inovasi, pelaburan dan keusahawanan perlu terus diperkukuh bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat Sabah.

Menurutnya, kerjasama lebih erat antara institusi pendidikan, industri, sektor perniagaan dan kerajaan juga penting bagi memastikan pembangunan bakat dapat disesuaikan dengan keperluan sebenar pasaran serta ekonomi masa hadapan.

Azrul berkata, Sabah mempunyai pelbagai kelebihan dan potensi besar sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi Borneo.

Bagaimanapun, beliau berkata potensi sahaja tidak mencukupi tanpa kesatuan arah, kerjasama kukuh serta kesungguhan semua pihak untuk melaksanakan perancangan yang telah dirangka.

“Kita tidak mahu sekadar bercakap mengenai potensi Sabah.

“Kita mahu potensi itu diterjemahkan menjadi peluang, pelaburan, pekerjaan, ilmu dan kesejahteraan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata, asas dan momentum pembangunan sudah tersedia manakala pelbagai perancangan sedang dilaksanakan — justeru semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan.

“Sekarang adalah masa untuk kita bergerak seiring dan memastikan setiap usaha yang dilaksanakan membawa Sabah ke arah negeri yang lebih maju, berjaya dan sejahtera,” katanya.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment