KOTA KINABALU:Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar inisiatif pembangunan belia, sebaliknya menjadi tapak semaian melahirkan generasi kepimpinan masa depan yang mampu memimpin, menggerakkan ekonomi dan menentukan hala tuju Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pemilihan peserta sebagai Felo SMJ membawa bersama satu kepercayaan dan amanah, selain merupakan pelaburan kerajaan negeri terhadap masa depan Sabah.
Menurutnya, peserta dipilih berdasarkan potensi dan bakat untuk suatu hari nanti berada di barisan hadapan dalam proses membuat keputusan, menerajui organisasi, menggerakkan ekonomi serta menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Saya mahu para Felo SMJ melihat penyertaan ini bukan sekadar peluang menambah pengalaman, tetapi sebagai satu tanggungjawab untuk mempersiapkan diri menjadi sebahagian daripada generasi yang akan membawa Sabah ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 5.0 di Dewan Bankuasi Utama, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri mahu Felo SMJ 5.0 terus berkembang bukan semata-mata berdasarkan jumlah penyertaan atau aktiviti dilaksanakan, tetapi lebih penting menerusi impaknya terhadap pembangunan generasi muda Sabah.
“Kita mahu mereka yang menyertai program ini keluar dengan pemikiran lebih matang, keyakinan lebih tinggi, jaringan lebih luas dan kemampuan sebenar untuk menyumbang kepada negeri,” katanya.
Beliau turut menghargai komitmen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang selama ini bersama-sama menjayakan program berkenaan dengan membuka ruang kepada golongan muda mendapat pendedahan secara langsung dalam bidang pengurusan, pentadbiran dan korporat.

Bagi pelaksanaan Felo SMJ 5.0, Hajiji mahu pembangunan modal insan Sabah dijadikan sebahagian daripada komitmen utama GLC — dan tidak hanya dilihat sebagai program sementara atau tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Pembangunan bakat anak Sabah mesti menjadi sebahagian daripada agenda kita membangunkan negeri ini.
“Sabah mempunyai ramai anak muda yang pintar, kreatif, berani dan bercita-cita besar, namun ada dalam kalangan mereka yang mungkin hanya memerlukan satu peluang atau seorang mentor untuk menyerlah,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mahu memastikan anak Sabah mempunyai ruang dan peluang untuk membina kerjaya serta masa depan di negeri sendiri.
“Kita tidak mahu membina bakat hanya untuk kemudian melihat mereka terpaksa pergi jauh kerana tidak menemukan ruang untuk menyerlah di negeri sendiri.
“Kita mahu anak Sabah mempunyai pilihan untuk membina masa depan di sini,” katanya.
Menurutnya, aspirasi itu selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), yang memerlukan modal insan berdaya saing bagi memacu transformasi Sabah ke arah ekonomi masa depan yang mampan dan berteknologi tinggi.
Beliau berkata, Sabah memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri moden, celik teknologi dan digital, kreatif serta memiliki nilai integriti yang tinggi.
“Sebab itu bagi saya, Felo SMJ bukan sekadar program pembangunan belia. Ia adalah tapak semaian kepimpinan masa depan Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, kerajaan negeri bukan hanya mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi juga individu yang mempunyai jiwa rakyat serta memahami realiti dan keperluan masyarakat.
Menurutnya, pemimpin masa depan Sabah perlu mampu menyelami denyut nadi komuniti, membawa suara rakyat ke meja dasar serta meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi.
Sehubungan itu, beliau mahu peserta Felo SMJ 5.0 memanfaatkan peluang berkenaan sebagai medan latihan kepimpinan dengan membina disiplin, empati, wawasan dan keberanian.
Pada masa sama, Hajiji mengingatkan mereka supaya sentiasa menjadikan integriti sebagai teras dalam membentuk jati diri dan kepimpinan.

























Add Comment