Home » Sabah perlu modal insan berilmu, berkemahiran dan berintegriti : Masidi
Berita GRS • Politik

Sabah perlu modal insan berilmu, berkemahiran dan berintegriti : Masidi

TAHNIAH: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menyampaikan sijil kepada antara 65 graduan yang diraikan pada Majlis Graduasi MRSM Ranau Kali Ke-2 Tahun 2026 di Dewan Utama MRSM Ranau, Sabtu.

RANAU:Pendidikan perlu terus dilihat sebagai pelaburan jangka panjang bagi memastikan Sabah memiliki modal insan berilmu, berkemahiran dan berintegriti untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disokong sumber manusia berkualiti.

“Kerajaan boleh membina jalan, membangunkan industri, menarik pelaburan dan mengukuhkan ekonomi. Tetapi akhirnya, semua pembangunan itu memerlukan manusia yang mempunyai ilmu, kemahiran, integriti dan kemampuan untuk meneruskannya.

“Sebab itulah pendidikan mesti sentiasa dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang untuk masa depan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau Kali Ke-2 Tahun 2026 di Dewan Utama MRSM Ranau, di sini, Sabtu.

Masidi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, berkata pembangunan MRSM Ranau merupakan hasil kerjasama Kerajaan Negeri Sabah, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan PETRONAS.

Menurutnya, pembinaan MRSM Ranau bermula pada 2019 sebelum kampus itu diserahkan pada 2023 dan menerima kumpulan pertama pelajar pada Mac 2024.

Beliau berkata, pelaburan pembangunan bernilai RM132 juta itu bukan sekadar untuk membina sebuah kampus pendidikan, sebaliknya merupakan pelaburan terhadap potensi dan masa depan anak-anak Sabah.

“Graduan maktab sebelum ini dan yang diraikan hari ini adalah sebahagian daripada hasil pelaburan tersebut,” katanya.

Masidi berkata, kerjasama dalam pembangunan pendidikan perlu terus diperkukuh, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kemahiran digital, keusahawanan serta pembangunan bakat.

Menurutnya, sebagai sebuah institusi yang masih baharu, MRSM Ranau mempunyai peluang untuk membina identiti, budaya dan legasi tersendiri dalam melahirkan generasi muda berkualiti.

“Saya berharap MRSM Ranau suatu hari nanti bukan sahaja dikenali kerana pencapaian akademiknya, tetapi kerana kemampuannya melahirkan anak muda yang berilmu, berdisiplin, berakhlak, berani berfikir, mampu berkomunikasi dan mempunyai daya tahan tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi merakamkan penghargaan kepada guru dan warga kerja MRSM Ranau atas komitmen mereka dalam mendidik serta membentuk karakter pelajar.

Beliau turut menghargai peranan ibu bapa dan penjaga yang menjadi antara tonggak penting di sebalik kejayaan 65 graduan yang diraikan pada majlis berkenaan.

Berpesan kepada graduan, Masidi mengingatkan mereka supaya tidak sekadar mengejar kelayakan akademik, sebaliknya membina kepakaran, karakter, kemahiran komunikasi dan keberanian untuk bersaing.

“Jangan sekadar mengejar kelayakan. Pilih bidang yang diminati dan kuasailah bidang tersebut dengan bersungguh-sungguh. Dunia masa hadapan memerlukan manusia yang benar-benar mempunyai ilmu dan kemahiran.

“Apa juga pencapaian nanti, pastikan prinsip dan integriti tidak pernah dikorbankan,” katanya.

Masidi turut menggalakkan anak-anak Sabah supaya berani keluar daripada zon selesa dan yakin bersaing di peringkat lebih luas.

“Pergilah sejauh mana yang kamu mampu. Capailah setinggi mana yang kamu impikan. Tetapi apabila kamu sudah sampai di atas, jangan lupa menoleh ke belakang dan menghulurkan tangan kepada mereka yang masih dalam perjalanan,” katanya.

Beliau berharap dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, graduan MRSM Ranau akan tampil sebagai golongan profesional, saintis, pendidik, usahawan dan pemimpin yang menyumbang kembali kepada masyarakat serta pembangunan Sabah.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment