Home » Hajiji gesa pemaju hartanah utamakan pembangunan rumah mampu milik
Berita GRS • Politik

Hajiji gesa pemaju hartanah utamakan pembangunan rumah mampu milik

ANUGERAH: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun (tengah), bergambar bersama para penerima anugerah pada Majlis SHAREDA NITE 2026 di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabtu.

KOTA KINABALU:Pemaju perumahan dan hartanah di Sabah digesa memberikan keutamaan kepada penyediaan rumah mampu milik, pembangunan mampan serta perancangan bandar yang teratur, bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki kediaman sendiri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata ketiga-tiga aspek itu perlu menjadi teras pembangunan sektor hartanah supaya kemajuan ekonomi negeri dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, pemaju perlu mengutamakan reka bentuk dan kaedah pembinaan yang cekap dalam penggunaan sumber, mampu mengurangkan kos operasi jangka panjang serta mengambil kira kelestarian alam sekitar.

“Pemaju juga perlu memastikan penggunaan tanah lebih cekap, selain menyediakan kemudahan pengangkutan, utiliti dan kemudahan awam mencukupi bagi menyokong pembangunan baharu.

“Pada masa sama, kerjasama dengan kerajaan perlu dipertingkatkan bagi mencari pendekatan praktikal untuk memenuhi keperluan pembeli rumah pertama, keluarga muda dan golongan berpendapatan sederhana,” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Malam Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sabah (SHAREDA NITE 2026) di Magellan Sutera Resort, di sini, Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri menyedari pelbagai cabaran yang dihadapi industri hartanah — termasuk peningkatan kos pembinaan dan pembiayaan, gangguan rantaian bekalan serta kos pengangkutan bahan binaan ke Sabah.

Beliau berkata kelewatan proses kelulusan pembangunan serta kekangan infrastruktur asas seperti bekalan elektrik, air dan jaringan jalan raya turut menjejaskan pelaksanaan projek baharu.

“Apabila kos pembinaan meningkat, pemaju berdepan kesukaran melaksanakan projek dan keadaan itu boleh menyebabkan harga rumah semakin tidak mampu dimiliki.

“Jika aktiviti pembangunan menjadi perlahan, kontraktor dan pembekal menerima lebih sedikit kerja, peluang pekerjaan berkurangan manakala pelaburan mungkin ditangguhkan,” katanya.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan dan pemain industri bagi meningkatkan kecekapan serta ketelusan proses kelulusan pembangunan, memperkukuh penyediaan infrastruktur asas dan menangani halangan yang menjejaskan kemajuan projek.

Bagaimanapun, Ketua Menteri menegaskan usaha mempercepatkan pembangunan tidak boleh dilakukan dengan mengabaikan aspek keselamatan, pematuhan piawaian alam sekitar dan kepentingan awam.

Dalam pada itu, Hajiji berkata sektor hartanah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Sabah kerana sumbangannya bukan sahaja tertumpu kepada penyediaan kediaman dan premis perniagaan, malah turut merancakkan pelbagai industri sokongan.

Menurutnya, aktiviti pembangunan hartanah membuka peluang pekerjaan dalam sektor pembinaan, perkhidmatan profesional, pembekalan, pengangkutan dan pembiayaan — sekali gus menjana manfaat ekonomi yang lebih meluas.

Beliau berkata pembangunan perumahan, pusat komersial dan kemudahan perindustrian yang dirancang secara strategik turut berupaya menarik pelaburan baharu serta merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan.

Industri hartanah juga akan terus menjadi antara pemacu penting agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam menyokong pertumbuhan sektor pertanian, perindustrian, pelancongan dan infrastruktur.

Hajiji turut mengiktiraf SHAREDA sebagai rakan strategik Kerajaan Negeri dalam mengemukakan pandangan dan cadangan praktikal berkaitan pembangunan hartanah, perancangan bandar serta penyediaan perumahan.

Beliau berharap persatuan itu bersama ahlinya terus mengutamakan integriti, inovasi dan standard kualiti yang tinggi dalam setiap projek pembangunan.

Menurutnya, komitmen berkenaan penting bagi memastikan sektor hartanah bukan sahaja berkembang secara berdaya saing, malah menyumbang kepada pembentukan komuniti yang sejahtera serta ekonomi Sabah yang lebih kukuh dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.