Home » Perbelanjaan pembangunan persekutuan di Sabah cecah 71.78 peratus, 291 projek siap
Berita GRS • Politik

Perbelanjaan pembangunan persekutuan di Sabah cecah 71.78 peratus, 291 projek siap

SEBELUM MESYUARAT: Hajiji (kanan) bersama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Manjun, sebelum bermulanya Mesyuarat MTPNg Sabah di Menara Kinabalu, Rabu.

KOTA KINABALU: Prestasi perbelanjaan pembangunan Persekutuan di Sabah meningkat kepada 71.78 peratus setakat 26 Oktober lalu, berbanding 52.07 peratus yang direkodkan pada 10 Ogos tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata peningkatan sebanyak 19.71 mata peratusan itu mencerminkan perkembangan positif dalam pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.

Beliau berkata sebanyak 291 projek pembangunan turut berjaya disiapkan di Sabah sepanjang tahun ini — termasuk Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di Penampang.

“Ini menunjukkan kita sebenarnya mampu untuk menjayakan pelaksanaan sesebuah projek, dan prestasi positif ini wajar diteruskan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Hajiji menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana mempergiat usaha bagi memastikan baki peruntukan pembangunan dimanfaatkan secara optimum sebelum berakhirnya tahun kewangan 2026.

Menurutnya, perhatian khusus perlu diberikan kepada projek yang masih mempunyai baki peruntukan besar atau berdepan kekangan pelaksanaan sehingga berisiko mengalami kelewatan atau menjadi projek sakit.

Beliau berkata isu berkaitan kelulusan teknikal, pengambilan tanah, pengalihan utiliti, perolehan serta pengurusan kontrak perlu dikenal pasti dan ditangani secara proaktif menerusi penyelarasan berkesan antara agensi berkaitan.

PENGERUSI: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Rabu.

“Bagi isu rentas kementerian dan agensi, tindakan penyelesaian serta tempoh masa yang jelas perlu ditetapkan dan dipantau sehingga selesai.

“Saya ingin menegaskan setiap peruntukan pembangunan adalah amanah yang mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.

“Peruntukan yang diluluskan seharusnya menghasilkan kemudahan dan perubahan yang dapat dirasai oleh rakyat Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji menyambut baik peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu — meningkat RM1.1 bilion berbanding RM17.6 bilion tahun ini.

Beliau berkata peningkatan itu mencerminkan keprihatinan berterusan Kerajaan Persekutuan terhadap keperluan pembangunan Sabah, khususnya dalam memperkukuh kemudahan infrastruktur asas dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Antara projek utama yang diberikan keutamaan ialah pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B serta usaha memperkukuh sistem bekalan elektrik menerusi projek Sistem STATCOM di Dam Road dan Segaliud, Sandakan, selain Talian Penghantaran Southern Link di Sipitang.

Hajiji turut menyifatkan peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi menaik taraf 682 sekolah daif di Sabah dan Sarawak sebagai langkah penting untuk meningkatkan kualiti persekitaran pembelajaran serta menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik kepada pelajar.

“Saya mahu agar semua kementerian dan agensi berkaitan mengambil langkah persediaan yang rapi bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut keutamaan serta jadual yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, Ketua Menteri mengingatkan semua kementerian, jabatan dan agensi pelaksana supaya menjadikan mesyuarat MTPNg sebagai platform mencari penyelesaian terhadap isu pelaksanaan projek, bukannya sekadar membincangkan masalah yang dihadapi.

“Kita perlu bergerak daripada sekadar membincangkan masalah kepada tindakan yang lebih jelas.

“Saya yakin menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri serta komitmen seluruh jentera pelaksana, agenda pembangunan Sabah dapat terus dipacu secara mampan dan inklusif — selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.

Hajiji menegaskan kejayaan pembangunan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan atau bilangan projek semata-mata, sebaliknya sejauh mana pelaksanaannya mampu meningkatkan kualiti hidup dan menjamin kesejahteraan rakyat. Dalam mesyuarat sama, beliau turut mengalu-alukan kehadiran Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, Datuk Zul Hadi Ahmad, sambil berharap kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri terus diperkukuh bagi memastikan agenda pembangunan Sabah dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment