Home » Sabah peruntuk RM2.3 juta perkukuh usaha pencegahan dadah: Hajiji
Berita GRS • Politik

Sabah peruntuk RM2.3 juta perkukuh usaha pencegahan dadah: Hajiji

CAKNA: Hajiji menyantuni seorang penerima OKU ketika menyampaikan sumbangan pada Program MADANI Kita 2026 di Dataran Bagandang, Beaufort, Ahad.

BEAUFORT: Kerajaan Sabah memperuntukkan RM2.3 juta tahun ini bagi memperkukuh usaha pencegahan penyalahgunaan dadah, menerusi peluasan Program TEKAD Sektor Awam dan pemerkasaan SKUAD Antidadah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata peruntukan yang diluluskan menerusi Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) 2026 itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam menangani ancaman dadah secara menyeluruh.

Menurutnya, usaha berkenaan turut diperkukuh menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah bagi meningkatkan kesedaran, pencegahan serta intervensi awal dalam kalangan masyarakat.

“Ancaman dadah tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kehidupan individu, malah turut menggugat keharmonian keluarga, keselamatan masyarakat serta produktiviti negeri.

“Di sebalik setiap angka yang direkodkan, terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perhatian, bimbingan dan sokongan untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya ketika merasmikan Program MADANI Kita 2026 dan majlis penutupan Festival Bagandang Beaufort di Dataran Bagandang, di sini, Ahad.

Hajiji berkata pembangunan Sabah tidak seharusnya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan infrastruktur semata-mata, sebaliknya perlu turut mengambil kira kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti serta masa depan generasi muda.

Beliau berkata berdasarkan statistik AADK sehingga Jun 2026, seramai 130,307 individu direkodkan sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara — menurun 3.4 peratus berbanding 134,916 individu bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Di Sabah, seramai 5,269 individu direkodkan, dengan penurunan sebanyak 0.02 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Walaupun terdapat penurunan, kita tidak boleh berasa selesa kerana ancaman dadah terus berkembang, khususnya membabitkan dadah sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), bahan psikoaktif baharu (NPS) dan opioid sintetik seperti fentanyl,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan golongan belia berusia antara 19 hingga 39 tahun perlu diberikan perhatian serius, memandangkan mereka merupakan antara penyumbang utama kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

Menurutnya, penglibatan golongan itu dalam penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan masa depan individu, malah turut membawa kesan kepada institusi keluarga, ekonomi dan masyarakat.

Bagi menangani ancaman berkenaan, Hajiji menggariskan tiga strategi utama — bermula dengan memperkukuh peranan keluarga dan komuniti sebagai benteng pertama pencegahan dadah.

Beliau berkata ibu bapa perlu lebih peka terhadap pergaulan dan perubahan tingkah laku anak-anak, selain mengamalkan komunikasi terbuka bagi membina hubungan kekeluargaan yang lebih erat.

Pada masa sama, pemimpin masyarakat, persatuan belia dan sukarelawan perlu memperluas aktiviti positif yang mampu membina jati diri serta menghindarkan generasi muda daripada pengaruh dadah.

Menurutnya, program pencegahan juga perlu diperluas ke kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau-pulau supaya faktor geografi tidak menjadi penghalang kepada akses pendidikan antidadah, intervensi awal dan perkhidmatan kerajaan.

Strategi kedua ialah mempertingkat penguatkuasaan dan kerjasama bersepadu antara agensi — termasuk AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi berkaitan.

“Kerjasama melalui perkongsian maklumat, risikan dan operasi bersepadu perlu diperkukuh bagi membanteras pengedaran dadah serta memutuskan rangkaian sindiket,” katanya.

Ketua Menteri berkata tindakan tegas terhadap pengedar dan sindiket perlu dilaksanakan seiring usaha pencegahan, bagi membendung bekalan, mengurangkan permintaan dan mengelakkan pertambahan kes baharu.

Sementara itu, strategi ketiga memberikan penekanan kepada peluasan akses rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan — bagi membantu individu yang berdepan masalah penagihan kembali berdikari serta menjalani kehidupan produktif.

“Kita perlu tegas terhadap kegiatan pengedaran dadah, namun pada masa sama memberikan ruang kepada individu yang berusaha untuk pulih.

“Mereka tidak seharusnya terus dibebani stigma sehingga sukar kembali kepada keluarga dan masyarakat.

“Sebaliknya, mereka perlu dibimbing, diberikan peluang kedua dan dibantu untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Hajiji berkata antara inisiatif yang dilaksanakan AADK Sabah termasuk Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), Program Komuniti MADANI FELDA Sejahtera, Jerayawara SKUAD Antidadah Dua Roda, Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD), Moto Day 9.0 dan Ops Cegah Khas.

Turut dilaksanakan tindakan pencegahan berfokus di Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) bagi memastikan intervensi lebih berkesan.

Beliau berharap kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, AADK, agensi penguatkuasaan dan masyarakat dapat terus diperkukuh menerusi tindakan yang terselaras sehingga ke peringkat akar umbi.

Dalam perkembangan lain, Ketua Menteri menyambut baik penganjuran semula Festival Bagandang Beaufort, yang disifatkan mampu menghidupkan kembali tradisi kesenian Bagandang selain memperkenalkan keunikan budaya masyarakat setempat kepada pengunjung.

Menurutnya, festival berkenaan turut menjadi antara usaha mempersiapkan Beaufort sebagai destinasi pelancongan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, di samping merancakkan ekonomi tempatan menerusi penyertaan usahawan dalam gerai jualan dan pasar tamu.

Pada majlis sama, Hajiji turut menyampaikan 247 geran tanah membabitkan keluasan keseluruhan 889.21 ekar kepada penduduk kampung.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24 geran adalah di bawah Program Perkhidmatan Tanah Adat Sabah (PANTAS) melibatkan keluasan 77.51 ekar, manakala baki 223 geran merupakan geran Tanah Anak Negeri (NT) biasa dengan keluasan 811.7 ekar.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment