KUDAT: Semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan supaya sentiasa mengutamakan kepentingan Sabah mengatasi kepentingan gabungan, parti mahupun individu bagi memastikan kekuatan politik negeri terus terpelihara.
Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perpaduan dalam kalangan parti komponen merupakan asas penting untuk memperkukuh kedudukan serta kuasa tawar-menawar Sabah di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, kekuatan itu tidak akan tercapai sekiranya GRS terus dibayangi pertelingkahan dalaman, perebutan kedudukan dan ego politik.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah.
“Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026, di sini, pada Ahad.
Hajiji berkata, GRS ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat yang mahukan kekuatan politik tempatan bagi menentukan masa depan negeri, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan kestabilan pentadbiran Sabah.
Katanya, kejayaan GRS muncul sebagai blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17) November tahun lalu merupakan hasil usaha bersama semua parti komponen, kepimpinan dan ahli gabungan itu.
“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya, dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan.
“Kepentingan GRS mesti mengatasi kepentingan mana-mana parti komponennya, manakala kepentingan Sabah pula perlu sentiasa mengatasi kepentingan GRS,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada ahli akar umbi yang menjadi tunjang kekuatan gabungan melalui pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit ketika berkempen.
Beliau mengingatkan pemimpin supaya tidak melupakan jasa ahli akar umbi yang bekerja di belakang tabir dan memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan parti.
“Orang-orang inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS. Kita yang berada di atas pentas ini boleh berdiri di sini kerana ramai orang di bawah dan di luar sana yang membantu dan mengangkat kita sampai pada kedudukan ini.
“Makanya, jangan sekali-kali kita lupa pada mereka,” katanya.
Mengulas cabaran politik semasa, Hajiji berkata, tindakan sesetengah pihak meninggalkan gabungan untuk membawa haluan sendiri perlu dijadikan pengajaran bagi memperkukuh perpaduan dan kematangan politik dalam GRS.
Menurutnya, perbezaan pandangan serta kepelbagaian masyarakat Sabah perlu dihormati, manakala keyakinan rakyat mesti terus dipupuk melalui kerjasama kukuh antara parti komponen dan prestasi pentadbiran yang berkesan.
Beliau menegaskan bahawa status sebagai parti tempatan semata-mata tidak menjamin sokongan rakyat tanpa hasil pembangunan yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
“Rakyat mahu sebuah kerajaan yang stabil, yang bukan sekadar pandai bercakap, tetapi mampu menyelesaikan masalah.
“Kita boleh menang berucap ketika di atas pentas, tetapi kalah dalam menawan hati rakyat,” katanya.
Menjelang pilihan raya akan datang, Hajiji mengingatkan bahawa rundingan pembahagian kerusi dan pemilihan calon bakal menguji kesetiaan serta semangat setiakawan dalam kalangan parti komponen.
Sehubungan itu, beliau menyeru setiap pemimpin supaya mengutamakan semangat kompromi, menghormati keputusan bersama dan tidak membiarkan kepentingan peribadi menjejaskan kesatuan gabungan.
Katanya, kegagalan memperoleh peluang bertanding tidak seharusnya dijadikan alasan untuk merajuk, enggan bekerjasama atau menyerang rakan dalam gabungan sendiri.
Beliau turut mengingatkan bakal calon GRS supaya tidak bersikap sombong selepas memenangi pilihan raya kerana kejayaan itu turut bergantung kepada sokongan jentera daripada pelbagai parti komponen.
“Tidak ada calon GRS yang menang seorang diri. Di belakang setiap kemenangan ada jentera daripada pelbagai parti. Ingatlah, politik sentiasa berubah. Hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu,” katanya.
Hajiji turut menekankan kepentingan membina hubungan berasaskan kepercayaan dan sikap saling menghormati, selain membuka ruang kepada generasi muda untuk menyumbang idea serta memikul tanggungjawab kepimpinan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa setiap jawatan merupakan amanah sementara dan tidak seharusnya dipertahankan sehingga mengabaikan kepentingan rakyat.
“Sebab itu, jangan terlalu sayangkan kerusi sehingga kita lupa mengapa kita diberikan kerusi itu,” katanya. Beliau menegaskan bahawa empat prinsip perjuangan GRS, iaitu Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper, perlu diterjemahkan melalui tindakan, prestasi pentadbiran dan usaha berterusan membela kesejahteraan rakyat, bukan sekadar slogan politik.

























Add Comment