KOTA KINABALU: Penubuhan Pusat dan Rumah Transit The Pink Haven oleh Sabah Kinabalu Pink Ribbon (SKPR) merupakan inisiatif penting dalam meringankan beban pesakit kanser payudara, khususnya mereka dari kawasan luar bandar yang perlu mendapatkan rawatan khusus di Kota Kinabalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata kemudahan yang terletak di Taman Seputeh, Luyang itu bukan sekadar menyediakan tempat penginapan sementara, malah menawarkan sokongan praktikal dan emosi kepada pesakit serta penjaga sepanjang tempoh rawatan.
Menurutnya, pesakit yang datang dari daerah lain sering berdepan pelbagai cabaran — termasuk perjalanan jauh yang memenatkan, tekanan emosi dan beban kewangan, selain terpaksa berjauhan daripada keluarga ketika menjalani rawatan.
“The Pink Haven merupakan sebuah ‘rumah kedua’ yang membantu meringankan beban pesakit yang terpaksa melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan.
“Lebih daripada sekadar sebuah bangunan, pusat ini menawarkan keselesaan, menjaga maruah pesakit dan memberi keyakinan bahawa tiada siapa perlu melalui perjalanan ini secara bersendirian,” katanya dalam teks ucapan sempena majlis perasmian The Pink Haven di Taman Seputeh, Luyang, di sini, Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal.

Hajiji berkata Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf kepentingan kerjasama dengan institusi kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penyumbang dan sukarelawan dalam memperkukuh sokongan kepada pesakit kanser serta keluarga mereka.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik kejayaan SKPR merealisasikan pengoperasian The Pink Haven — termasuk menerusi peruntukan RM300,000 yang diluluskannya dua tahun lalu bagi membantu pembangunan kemudahan berkenaan.
Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 2010, SKPR memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, selain menyediakan sokongan kepada pesakit, bekas pesakit dan keluarga mereka.
Menurutnya, penubuhan The Pink Haven merupakan satu lagi pencapaian bermakna persatuan itu dalam menterjemahkan keprihatinan terhadap kebajikan pesakit kepada bantuan yang lebih praktikal dan menyeluruh.
Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Penaung dan Pengasas SKPR, Datin Lucilla Pang, yang pengalaman peribadinya sebagai bekas pesakit kanser payudara menjadi inspirasi kepada penubuhan persatuan berkenaan.
Ketua Menteri berkata usaha membantu pesakit kanser tidak seharusnya tertumpu kepada rawatan perubatan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi sokongan emosi, kebajikan dan keperluan harian mereka sepanjang menjalani rawatan.
Justeru, beliau berharap kerjasama antara kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, NGO, sektor korporat dan masyarakat umum dapat terus diperkukuh bagi memastikan pesakit serta keluarga mereka menerima sokongan yang diperlukan.
Hajiji turut berharap The Pink Haven akan terus menjadi tempat yang menawarkan keselesaan, harapan dan sokongan berterusan kepada pesakit kanser payudara serta penjaga mereka sepanjang menghadapi cabaran rawatan dan pemulihan.

























Add Comment