KOTA KINABALU: Hampir 3,000 peserta dan pemerhati dijangka menghadiri Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 yang akan berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Kudat, Ahad ini.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata konvensyen tahunan yang julung kali diadakan itu bakal menghimpunkan wakil daripada kesemua 26 kawasan Parlimen di Sabah, termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.
Menurutnya, pemilihan Kudat sebagai lokasi penganjuran selaras dengan keputusan Majlis Tertinggi GRS supaya program utama gabungan itu tidak hanya tertumpu di Kota Kinabalu, sebaliknya dilaksanakan secara bergilir di daerah lain mengikut kesesuaian logistik.
“Konvensyen ini akan menampilkan ucaptama Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, selain sesi perkongsian oleh enam Timbalan Pengerusi GRS yang mewakili kepimpinan enam parti komponen gabungan,” katanya.
Armizan berkata, konvensyen itu menjadi platform penting untuk menghimpunkan kepimpinan pusat dan bahagian bagi memperkukuh kesepakatan serta membincangkan hala tuju politik dan agenda pembangunan negeri.
Menurutnya, antara tumpuan utama ialah memperkukuh kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Selain itu, konvensyen turut memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan agenda pembangunan rakyat dan negeri berdasarkan manifesto GRS, termasuk pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan akar umbi yang tidak dapat menghadiri konvensyen secara fizikal turut diberikan peluang mengemukakan pandangan dan maklum balas secara dalam talian menerusi platform yang disediakan Sekretariat Ibu Pejabat GRS.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan penyertaan lebih menyeluruh daripada kepimpinan di pelbagai peringkat dalam membincangkan hala tuju dan keutamaan gabungan berkenaan.

























Add Comment