TENOM:Pesta Kalimaran perlu terus diperkasakan dengan penglibatan lebih ramai usahawan tempatan dan pemain industri pelancongan, bagi mengembangkan potensinya sebagai produk pelancongan budaya yang mampu merancakkan ekonomi masyarakat setempat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata penyertaan pengusaha kecil, penggiat kraftangan, pengusaha makanan, pengendali inap desa dan pemain industri pelancongan perlu diperluas supaya manfaat penganjuran pesta itu dapat dinikmati lebih ramai penduduk.
Menurutnya, usaha berkenaan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menggalakkan setiap daerah membangunkan produk serta pengalaman pelancongan berteraskan identiti dan keunikan masing-masing — khususnya menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
“Pesta ini akan memperkukuh lagi industri pelancongan budaya, di samping memberi peluang kepada masyarakat setempat memasarkan produk tempatan dan memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar,” katanya dalam teks ucapan sempena majlis perasmian Ilau Kalimaran (Pesta Kalimaran), di sini, Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata Pesta Kalimaran bukan sahaja menjadi wadah meraikan keunikan budaya masyarakat Murut, malah berpotensi memperkenalkan Kemabong sebagai destinasi pelancongan budaya yang mempunyai identiti tersendiri.
Sehubungan itu, beliau menyeru generasi muda — khususnya masyarakat Murut — supaya terus menghargai dan memelihara warisan budaya etnik masing-masing agar tidak dilupakan dalam arus pemodenan.
“Jangan anggap budaya tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman. Sebaliknya, jadikan budaya sebagai satu kekuatan dan peluang.
“Gunakan teknologi digital dan media sosial untuk memperkenalkan budaya Murut kepada dunia.
“Dokumentasikan tarian, muzik, pakaian, makanan, bahasa, cerita rakyat dan adat resam kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan usaha memelihara warisan budaya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan identiti masyarakat tidak terhakis dan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Kita mahu melihat generasi muda menjadi duta budaya Sabah. Jika kita tidak mengambil langkah untuk memelihara budaya kita hari ini, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada identiti kita pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri mengajak generasi muda Murut menjadikan semangat perjuangan Datuk Seri Panglima Ontoros Endoi @ Antanom — atau lebih dikenali sebagai Antanom — sebagai sumber inspirasi dalam membentuk jati diri dan kepimpinan.
Beliau berkata tokoh berkenaan bukan sahaja melambangkan keberanian dan keteguhan pendirian, malah mencerminkan nilai maruah, kesetiaan kepada tanah air serta kecintaan terhadap masyarakat.
“Semangat Antanom yang ingin kita warisi bukan semata-mata tentang keberanian untuk berjuang, tetapi juga tentang maruah, harga diri, kepimpinan, kesetiaan kepada tanah air dan kecintaan kepada masyarakat.
“Nilai-nilai ini amat relevan dalam kehidupan kita pada hari ini,” katanya.
Hajiji berharap semangat berkenaan terus menjadi dorongan kepada generasi muda Sabah untuk menghargai tanah air, memelihara perpaduan, meningkatkan ilmu dan kemahiran serta menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Beliau berkata Kerajaan Negeri kekal komited memastikan khazanah kebudayaan semua etnik di Sabah terus dipelihara, didokumentasikan dan dipromosikan.
Menurutnya, usaha itu termasuk memperkukuh pemetaan dan dokumentasi budaya etnik bagi memastikan kepelbagaian warisan Sabah terus terpelihara sebagai khazanah untuk generasi akan datang.
Menyentuh pembangunan Kemabong, Hajiji berkata Kerajaan Negeri berhasrat memperkukuh pertumbuhan kawasan itu menerusi sektor pertanian, keusahawanan, pelancongan, pembangunan infrastruktur serta kegiatan ekonomi setempat.
Beliau berkata penganjuran acara kebudayaan berskala besar seperti Pesta Kalimaran turut membuka peluang untuk memperkenalkan Kemabong kepada lebih ramai pengunjung, sekali gus membantu merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat.
“Saya percaya dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan sokongan padu daripada rakyat, Kemabong akan terus berkembang dan menikmati limpahan pembangunan,” katanya.
Ketua Menteri turut mengajak masyarakat menjadikan Pesta Kalimaran sebagai platform memperkukuh hubungan persaudaraan, persefahaman dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.
“Marilah kita terus mempertahankan keamanan, keharmonian dan kestabilan negeri ini.
“Janganlah kita membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan. Saya percaya, dengan perpaduan dan kestabilan, kita mampu meneruskan agenda pembangunan melalui Sabah Maju Jaya,” katanya.

























Add Comment