TUARAN:Golongan belia bukan sekadar pewaris kepimpinan masa depan, sebaliknya berperanan sebagai pemacu ekonomi dan ejen perubahan utama dalam merealisasikan aspirasi pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh agenda pembangunan belia menerusi penyediaan bantuan, dana keusahawanan dan latihan kemahiran — bagi melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mampu mendapatkan pekerjaan, malah berupaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain.
Menurutnya, penekanan turut diberikan kepada pembangunan kemahiran berimpak tinggi, termasuk menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), bagi memastikan belia Sabah memenuhi keperluan industri serta pasaran pekerjaan masa hadapan.
“Kerajaan Negeri meletakkan agenda pembangunan belia sebagai salah satu keutamaan kerana golongan ini bukan sekadar pemimpin masa hadapan, tetapi merupakan pemacu ekonomi dan ejen perubahan utama yang kita perlukan hari ini untuk menjayakan aspirasi pelan pembangunan SMJ,” katanya ketika merasmikan Karnival Tamu Belia Tuaran 2026, di sini, Khamis.
Hajiji berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM98.06 juta kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK) bagi 2026 — merangkumi pembangunan modal insan, geran persatuan belia, pembangunan sukan serta sokongan kepada usahawan muda menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).
Beliau berkata inisiatif Rumah Mesra SMJ turut menyediakan bantuan perumahan kepada golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga.
Selain bantuan kewangan dan pembangunan kemahiran, Kerajaan Negeri turut menyediakan ruang kepada golongan muda untuk menyumbang pandangan dalam pembentukan dasar dan hala tuju pembangunan Sabah.
Menurutnya, platform Pemikir Muda Ketua Menteri membolehkan belia terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar dan polisi pembangunan negeri.
“Dewan Belia Sabah pula menjadi platform penyatuan dan perwakilan belia untuk membincangkan isu serta hala tuju anak muda menerusi format pelaksanaan baharu di bawah seliaan kementerian berkaitan,” katanya.
Hajiji berkata Sabah mempunyai ramai anak muda yang berbakat, kreatif, berkemahiran dan bersemangat tinggi, justeru potensi mereka perlu terus digilap menerusi program yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Beliau menegaskan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan program yang benar-benar memberikan manfaat serta memenuhi keperluan golongan belia.
Mengulas penganjuran Karnival Tamu Belia Tuaran 2026, Ketua Menteri berkata program berkenaan membuktikan belia bukan sekadar bakal mewarisi kepimpinan masyarakat dan negeri, tetapi juga rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti.
Menurutnya, karnival itu menyediakan platform kepada golongan muda untuk berkongsi idea, mengetengahkan bakat, memperluas peluang perniagaan serta membina jaringan kerjasama.
“Tamu bukan sekadar tempat jual beli, sebaliknya sebahagian daripada khazanah kehidupan masyarakat Sabah yang menghubungkan peniaga, pengusaha kecil, petani, penggiat seni dan komuniti setempat.
“Apabila konsep tamu digabungkan dengan semangat dan kreativiti belia, kita dapat mewujudkan ruang yang lebih dinamik untuk aktiviti keusahawanan, kebudayaan, kesukanan, hiburan yang sihat serta perkongsian ilmu,” katanya.
Beliau berharap karnival itu terus menjadi medan untuk belia memperkenalkan produk tempatan, menyerlahkan bakat seni dan budaya, membina keyakinan diri serta mengukuhkan hubungan antara komuniti.
Hajiji berkata program seumpama itu juga perlu menghasilkan manfaat jangka panjang — termasuk melahirkan usahawan baharu, membuka peluang pekerjaan, memperluas jaringan perniagaan serta mencetuskan idea yang berpotensi untuk dibangunkan.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk meneruskan pembangunan Sabah berdasarkan keutamaan, kemampuan sumber dan pendekatan yang bersesuaian dengan keperluan negeri.
Beliau turut berharap belia Tuaran dapat menjadi contoh kepada golongan muda di daerah lain menerusi kreativiti, semangat kesukarelawanan, keusahawanan serta usaha memperkukuh perpaduan masyarakat.
Menurutnya, kejayaan agenda pembangunan belia bukan sahaja bergantung kepada dasar dan bantuan kerajaan, tetapi turut memerlukan kesungguhan golongan muda sendiri, sokongan keluarga, komitmen komuniti serta kerjasama semua pihak.
Hajiji berharap Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 mencapai matlamat penganjurannya dan menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan belia di Tuaran serta seluruh Sabah.

























Add Comment