KENINGAU:Penguatkuasaan undang-undang dan pemantauan keselamatan di kawasan pedalaman Sabah perlu dipertingkatkan bagi membendung pemilikan serta penggunaan senjata secara haram yang berpotensi mengancam keselamatan orang awam.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Keningau, Datuk Azman Ruslan, berkata langkah pencegahan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat — khususnya penduduk luar bandar — sentiasa terpelihara.
Beliau berkata tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas 42 laras senapang angin dan 456 butir peluru di Sook baru-baru ini wajar diberikan penghargaan, kerana mencerminkan komitmen pihak berkuasa dalam menangani risiko penyalahgunaan senjata.
Menurutnya, operasi seumpama itu perlu disusuli dengan pemantauan berterusan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan penduduk.
Dalam pada itu, Azman turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang kehilangan nyawa dalam satu kejadian baru-baru ini.
Beliau berkata kehilangan nyawa pada usia begitu muda amat menyedihkan, dan sewajarnya menjadi peringatan kepada semua pihak supaya tidak memandang ringan aspek keselamatan — khususnya berkaitan pemilikan dan penggunaan senjata.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa memperketat penguatkuasaan undang-undang, meningkatkan pemantauan serta memperluas langkah pencegahan.
“Penduduk di kawasan pedalaman juga berhak menikmati persekitaran aman dan selamat, selain bebas daripada ancaman jenayah serta penyalahgunaan senjata.
“Kita berharap kerjasama antara pihak berkuasa dengan masyarakat setempat terus diperkukuh, khususnya dalam penyaluran maklumat dan pelaksanaan langkah pencegahan bagi melindungi nyawa serta keselamatan orang ramai.
“Keselamatan rakyat adalah keutamaan. Jangan tunggu tragedi berlaku untuk kita bertindak,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman turut menekankan kepentingan kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pemilikan atau penggunaan senjata yang mencurigakan kepada pihak berkuasa, bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berharap usaha penguatkuasaan dan pencegahan dapat dipertingkatkan secara berterusan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan pedalaman Sabah sentiasa menjadi keutamaan.

























Add Comment