KOTA KINABALU:Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Menara Kinabalu, di sini, Selasa.
Kunjungan itu turut disertai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, serta Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Pada pertemuan berkenaan, Hajiji diberikan taklimat mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Nasional (JENDELA 2) — antara inisiatif penting Kerajaan Persekutuan dalam memperluas liputan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan komunikasi digital di Sabah.
Pelaksanaan JENDELA 2 dijangka memberikan manfaat kepada penduduk, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan cabaran mendapatkan capaian internet berkualiti akibat faktor geografi serta taburan penempatan penduduk.
Usaha memperkukuh infrastruktur komunikasi digital itu juga penting bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan dalam talian — termasuk pendidikan, aktiviti ekonomi dan urusan harian masyarakat.
Fahmi sebelum ini dilaporkan memaklumkan JENDELA 2 merangkumi kira-kira 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan sekitar 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan pelaksanaan fasa berkenaan. Turut hadir pada pertemuan itu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohd Razi; Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI), Datuk Hassan Mahali; serta Pengerusi Sabah Net, Datuk Azman Ruslan

























Add Comment