Home » Ceramah Ustaz Abdul Somad diadakan 2-3 September depan – Nizam
Berita Gagasan Rakyat Politik

Ceramah Ustaz Abdul Somad diadakan 2-3 September depan – Nizam

Nizam berkata program akan dimulakan pada 2 September dengan ceramah perdana yang diadakan di Masjid Al-Kauthar bermula jam 8 malam.

TAWAU: Program Tawau Berselawat Bersama Professor Dr Ustaz Abdul Somad di daerah ini yang dijadualkan pada 2 dan 3 September depan dijangka mampu menarik kehadiran ramai pengunjung termasuk dari negara jiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program berkenaan dianjurkan pihaknya bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Katanya, majlis ilmu itu turut berkolaboratif dengan Masjid Al-Kauthar Tawau, Masjid Raya Tawau, Sahabat UAS Brunei Darul Salam dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) lain di daerah ini.

“Program dimulakan pada 2 September dengan ceramah perdana yang diadakan di Masjid Al-Kauthar bermula jam 8 malam.

“Pada keesokan harinya, 3 September diadakan kuliah subuh pada jam 5 pagi yang berlangsung di Masjid Raya Tawau,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, Abdul Somad yang merupakan penceramah tersohor dari negara Indonesia mempunyai jutaan pengikut di media sosial dan beliau adalah pendakwah disenangi ramai di seluruh nusantara.

“Masyarakat Tawau sangat bertuah apabila beliau sudi berkunjung ke daerah ini buat pertama kalinya kerana kita sedia maklum, jadualnya sangat padat di Indonesia, Malaysia, Singgapura dan Brunei.

“Kita menjangkakan, majlis ini turut dihadir penduduk daripada Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kalabakan dan negara jiran berdekatan,” katanya.

Nizam berharap semua masyarakat Tawau dan sekitarnya khususnya umat Islam dapat hadir beramai-ramai mendengar secara langsung ceramah yang disampaikan oleh Abdul Somad.

“Saya berharap, Tawau terus subur dengan majlis-majlis ilmu supaya masyarakat di daerah ini lebih celik ilmu agama,” katanya.

Hamzah Sanudin