Home » Golongan usahawan diminta tingkat pengetahuan, kemahiran – Redonah
Berita Gagasan Rakyat Politik

Golongan usahawan diminta tingkat pengetahuan, kemahiran – Redonah

Redonah berkata demikian semasa berucap pada majlis Karnival Usahawan dan Kerjaya Zon Pantai Timur di sini semalam.

TAWAU: Golongan usahawan diminta terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan bidang perniagaan yang diceburi mampu bertahan lama.

Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, dunia perniagaan hari ini amat mencabar serta sentiasa berubah-ubah mengikut perkembangan semasa.

Menurut beliau, tanpa pengetahuan dan kemahiran seseorang peniaga sukar menguruskan perniagaan mereka baik dalam aspek produk, perkhidmatan, strategi pemasaran dan halangan-halangan yang ada.

“Ilmu pengetahuan dan kemahiran seseorang keusahawanan itu juga penting bagi memastikan mereka memiliki kekuatan mental bagi mengharungi cabaran dan persaingan dunia keusahawanan sebenar yang semakin kompetitif.

“Pendidikan keusahawanan juga amat signifikan untuk membina modal insan yang mempunyai kemahiran dan pemikiran usahawan serta inovatif bagi kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Karnival Usahawan dan Kerjaya Zon Pantai Timur di sini semalam.

Turut hadir, Pembantu Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Pengerusi Biro Usahawan Gagasan Rakyat Sabah, Shazlinah Lai serta jawatankuasa biro.

Redonah berkata, bidang keusahawan sangat penting dalam menjayakan tranformasi  pertumbuhan ekonomi masyarakat setempat dan negeri.

“Bidang atau sektor keusahawanan ini bermula dengan wujudnya usahawan yang berpotensi, iaitu seseorang individu yang bukan sahaja mempunyai keberanian untuk menceburkan diri dalam aktiviti keusahawanan semata-mata, malah mempunyai kepercayaan dan keupayaan untuk melakukannya.

“Pada masa ini, tahap pencapaian kita dalam bidang ini masih lagi rendah jika diukur dengan negara-negara maju, malah di beberapa negara membangun seperti China telah mula menunjukkan betapa rakyat mereka semakin aktif dan agresif untuk menguasasi pasaran,” ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, usaha bersepadu perlu diambil bagi menerapkan nilai dan budaya keusahawanan dalam kalangan masyarakat kita di Malaysia, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi tempatan termasuk di Kolej Komuniti.

Tambah beliau, banyak kajian telah membuktikan bahawa pendidikan keusahawanan mampu untuk meningkatkan kecenderungan dan minat pelajar institusi pengajian tinggi menceburkan diri dalam bidang berkenaan.

“Diharapkan dengan muncul lebih ramai usahawan kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih saing dan berdaya usaha sama ada dari segi pemikiran mahupun tingkah laku,” katanya.

— LIZA DIN