KOTA KINABALU: Isu membabitkan notis mengosongkan rumah oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) hanya melibatkan penyewa di tiga kawasan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini.
Pengerusi LPPB Datuk Masiung Banah berkata, kawasan berkenaan adalah PPR Taman Puri Warisan Inanam, PPR Taman Jaya Diri Kuala Manggatal dan PPR 2 Taman Bukit Setia Kuala Manggatal di daerah ini.
Katanya, peringatan itu juga hanya melibatkan penyewa yang sudah tinggal di kawasan berkenaan melebihi 10 tahun mengikut tempoh perjanjian yang ditentukan pihak LPPB kepada penyewa.
Pihaknya turut maklum, penyebaran surat notis berkenaan di media sosial menjadikan isu terbabit mendapat perhatian meluas dan menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
“Kita maklum isu ini dalam ledakan media sosial sekarang dan sebenarnya surat ini belum pun diedarkan dan hanya dibaca kepada individu-individu tertentu sahaja dan bukan secara menyeluruh, hanya mereka yang tinggal di tiga kawasan ini.
“Anehnya masyarakat dari bandar lain yang tiada kaitan sebagai contoh dari Sandakan, Tawau dan Lahad Datu turut sama bertanya isu ini termasuk wakil rakyat kerajaan dan juga pembangkang.
“Kita maklum bahawa kerajaan, badan berkanun mahupun agensi ada polisi dan peraturan. LPPB juga tidak terkecuali daripada polisi kerana itulah yang menjadi pemandu kepada setiap organisasi untuk melaksanakan apa juga yang kita perlukan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut ini berkata demikian bagi memberi pencerahan berhubung isu berkenaan dalam siaran langsung melalui laman Facebook di sini semalam.
Masiung berkata, apa yang dibuat oleh pegawai LPPB berhubung notis peringatan itu adalah mengikut polisi yang sudah lama dibuat dan bukannya polisi baharu.
Katanya, tawaran pertama bagi setiap penyewa rumah PPR adalah selama lima tahun dan setiap dua tahun penyewa akan diberikan peringatan mengenai tempoh penyewaan mereka.
Menurutnya, penyewa turut dimaklumkan bahawa kemudahan penyewaan itu bukan kekal selamanya tetapi hanya menjadi transit atau tumpangan sementara sebelum penyewa berupaya menyewa atau membeli rumah yang lebih baik keadaannya.
Beliau berkata, selama ini juga pihak LPPB tidak pernah dituduh memberi peringatan pada saat akhir atau secara kelam-kabut daripada pihak penyewa.
“Atas keprihatinan kerajaan melalui LPPB, selepas lima tahun penyewa masih boleh merayu dan memohon sehingga pada satu tahap seperti yang digariskan oleh polisi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KTTP), maka kita panjangkan sehingga 10 tahun.
“Justeru, jelas surat ini memperingatkan kepada penyewa-penyewa yang sudah melebihi 10 tahun bahawa tempoh penyewaan 10 tahun sudah berakhir.
“LPPB juga mahu memberi peluang kepada pemohon-pemohon yang sedang menunggu peluang menyewa rumah PPR membabitkan jumlah lebih 7,9000 pemohon,” jelasnya.
Selain itu katanya, sekitar 30 peratus penyewa rumah PPR sejak dahulu lagi apabila diberi peringatan untuk mengosongkan rumah berikutan sudah melebihi tempoh 10 tahun bertindak keluar secara sukarela tanpa ada sebarang masalah yang timbul.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak berkaitan supaya memberi kerjasama dan fokus kepada isu asal kerana pihak kerajaan tidak mempunyai agenda lain.
“Kami memahami tetapi pada masa sama kami mohon pertolongan supaya penyewa mematuhi polisi yang sudah ditetapkan.
“Langkah ini juga menjadi pemandu kepada LPPB untuk mencapai kejayaan ataupun memudahkan urusan pada masa akan datang,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai satu surat notis peringatan mengosongkan rumah bagi penyewa lebih 10 tahun yang didakwa daripada LPPB hingga menjadi topik hangat netizen di Sabah.
— TAMAT
Add Comment