Home » Kerajaan negeri menyokong penuh SDB
Berita Gagasan Rakyat Politik

Kerajaan negeri menyokong penuh SDB

Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan bahawa komitmen kerajaan negeri untuk memastikan komitmen bon dan pembayaran balik adalah tetap.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri teguh dengan sokongan padu terhadap Sabah Development Bank (SDB) dan menjelaskan bahawa RM5 bilion Non-Performing Loans (NPL)  adalah terjamin dan boleh diperolehi semula.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun menegaskan bahawa komitmen kerajaan negeri untuk memastikan komitmen bon dan pembayaran balik adalah tetap.

“Bank berkenaan mencerminkan keupayaan kedudukan kewangan negeri dan memainkan peranan penting dalam pembangunan Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
 
Beliau memberikan jaminan bahawa pinjaman berkenaan bukan satu kerugian, sebaliknya boleh diperolehi semula kerana kebanyakannya dijamin dengan aset seperti tanah yang aktif dalam tindakan perolehan semula.

Baru-baru ini, Masidi menjelaskan dalam sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) SDB akan mengumumkan kerugian untuk tempoh 2023-2024.

Masidi menegaskan bahawa SDB sentiasa memenuhi komitmen pembayaran bon bank berkenaan pada masa lalu dan pihak bank mempunyai modal mencukupi untuk memenuhi komitmen pembayaran bon di masa hadapan.

“Saya dimaklumkan bahawa bank, selepas pengumuman itu, secara proaktif telah berhubung dengan pelabur utama, penyimpan dan pihak berkepentingan lain.

“Respon umum adalah bahawa terdapat pemahaman dan sokongan penuh untuk bank dan mereka dijamin dengan sokongan kuat kerajaan negeri terhadap pelan transformasi bank ini.

“Sokongan kuat kerajaan negeri bukan sahaja dalam pembayaran balik pinjaman Badan Berkaitan Kerajaan (GLC), tetapi Kementerian Kewangan Sabah juga telah mengeluarkan surat kepada GLC lain untuk meletakkan lebihan wang tunai sebagai Deposit Tetap dengan SDB.

“Kami juga meletakkan SDB sebagai peminjam atau pengurus utama untuk menyediakan serta membiayai projek pelaburan besar yang akan datang ke Sabah.

“Satu lagi sokongan kewangan penting ialah penukaran Deposit Negeri sebanyak RM660 juta kepada ‘Redeemable Preference Shares’ dalam beberapa tahun akan datang untuk mengukuhkan kapital bank,” katanya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu legasi telah menjejaskan kedudukan kewangan SDB.

Bagaimanapun, pencapaian telah direkodkan sejak Lembaga dan Pengurusan baharu dilantik pada separuh kedua 2023. Pendedahan pinjaman GLC telah dikurangkan daripada RM2.2 bilion pada Julai 2023 kepada RM0.7 bilion kini, dan obligasi bon daripada RM5.0 bilion kepada RM3.9 bilion.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment