Home » Pendirian saya jelas — UiTM Tawau mesti dikekalkan, diperkukuh: Nizam
Berita GRS • Politik

Pendirian saya jelas — UiTM Tawau mesti dikekalkan, diperkukuh: Nizam

PENDIDIKAN: ADUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menggesa supaya UiTM Tawau dikekalkan sebagai kampus yang berfungsi sepenuhnya bagi menjamin akses pendidikan tinggi kepada masyarakat Pantai Timur Sabah.

TAWAU:Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Tawau mesti dikekalkan sebagai sebuah kampus yang berfungsi sepenuhnya, bagi memastikan peluang pendidikan tinggi kepada masyarakat di Pantai Timur Sabah terus terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata meskipun Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, dilaporkan memberikan jaminan kampus berkenaan tidak akan ditutup, cadangan rasionalisasi operasi dan penggunaan kemudahannya sebagai hab pendidikan melibatkan institusi lain masih menimbulkan persoalan mengenai masa depan UiTM Tawau.

Menurutnya, usaha mengekalkan kampus itu bukan sekadar memastikan bangunannya terus digunakan untuk tujuan pendidikan — sebaliknya perlu merangkumi pemeliharaan identiti institusi, fungsi akademik, penawaran program pengajian serta peranannya kepada masyarakat setempat.

“Kewujudan UiTM di Tawau merupakan hasil perjuangan dan usaha berterusan pemimpin tempatan terdahulu dengan sokongan Kerajaan Negeri, warga institusi serta masyarakat, bagi memastikan anak-anak Tawau dan kawasan sekitarnya mempunyai akses kepada pendidikan tinggi.

“Sejak mula beroperasi pada 1996, UiTM Tawau memainkan peranan penting sebagai laluan pendidikan tinggi, khususnya kepada anak-anak Bumiputera dari Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan lain di Pantai Timur Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nizam berkata kewujudan kampus berkenaan membolehkan anak-anak tempatan melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung kos perjalanan, penginapan dan sara hidup yang lebih tinggi sekiranya terpaksa berpindah ke daerah atau negeri lain.

Menurutnya, kemudahan pendidikan tinggi berhampiran tempat tinggal amat penting — khususnya kepada keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai kekangan kewangan untuk menghantar anak melanjutkan pengajian jauh dari kampung halaman.

Dalam pada itu, beliau mengulas angka 254 pelajar setakat 30 September 2026 yang dibangkitkan Menteri Pendidikan Tinggi ketika memberikan penjelasan di Dewan Rakyat.

Nizam berkata jumlah pelajar semata-mata tidak seharusnya dijadikan ukuran tunggal dalam menentukan keperluan atau tahap penggunaan sesebuah kampus.

Sebaliknya, penilaian menyeluruh perlu mengambil kira kapasiti sebenar kemudahan akademik — termasuk bilik kuliah, prasarana pengajaran dan pembelajaran, serta keupayaan kampus menampung pelajar secara berkesan.

“Kapasiti sesebuah kampus tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah ruang penginapan semata-mata, kerana kemampuan menyediakan tempat tinggal kepada pelajar tidak semestinya mencerminkan keupayaan kemudahan akademik menampung jumlah pelajar yang sama,” katanya.

Sehubungan itu, Nizam menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai asas penilaian yang digunakan dalam cadangan rasionalisasi berkenaan.

Beliau menegaskan sebarang keputusan perlu mengambil kira keadaan sebenar pengoperasian kampus serta keperluan pendidikan masyarakat di Pantai Timur Sabah.

Menurutnya, UiTM Tawau masih mempunyai potensi besar untuk dikembangkan menerusi penawaran program pengajian yang lebih pelbagai dan bersesuaian dengan keperluan pembangunan ekonomi, pasaran pekerjaan serta industri tempatan.

“Kita mahu memperluas peluang pendidikan tinggi untuk anak-anak Tawau. Sekiranya terdapat perancangan mewujudkan institusi pendidikan baharu, ia sewajarnya menjadi pelengkap kepada institusi sedia ada dan bukannya menggantikan peranan UiTM Tawau,” katanya.

Nizam turut menggesa KPT memberikan jaminan jelas bahawa sebarang langkah rasionalisasi tidak akan menyebabkan UiTM Tawau kehilangan identiti, fungsi akademik dan kedudukannya sebagai kampus UiTM di Pantai Timur Sabah.

Beliau berkata perancangan masa depan kampus berkenaan juga perlu mengambil kira pandangan Kerajaan Negeri Sabah, pengurusan UiTM, warga akademik, alumni serta masyarakat setempat.

Menurutnya, UiTM Tawau merupakan sebahagian daripada sejarah pembangunan pendidikan tinggi di daerah itu — dan usaha generasi terdahulu mewujudkan institusi berkenaan wajar dihargai dengan memastikan manfaatnya terus dinikmati generasi akan datang.

“Pendirian saya jelas. UiTM Tawau mesti dikekalkan, diperkukuh dan terus diberikan peranan yang bermakna dalam pembangunan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah,” tegasnya.