KOTA KINABALU: Kerajaan diharap dapat melaksanakan program kemahiran yang berimpak tinggi sesuai peredaran semasa yang kearah revolusi industri keempat (IR4.0) sekaligus mengoptimumkan sumbangan belia dalam era digital.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, program dan aktiviti kepimpinan belia yang akan dilaksanakan perlu dirancang dengan teliti sesuai keperluan bagi membolehkan belia mendapat manfaat maksimum.
Beliau berharap, pakar-pakar industri dapat menjalin kolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan supaya dapat memberi input penting dan panduan untuk mewujudkan program berimpak besar bagi memenuhi perkembangan IR4.0 khususnya di Sabah.
Shahril berkeyakinan belia di Sabah bersedia untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sekiranya diberi peluang menyertai program-program yang ditawarkan sekaligus menyahut cabaran perkembangan dunia.
Dengan peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM16.89 juta bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan untuk membangun serta memperkasa belia di Sabah tahun ini, Shahril yakin Sabah di landasan tepat dalam melahirkan generasi belia berkualiti.
Beliau percaya, kerajaan negeri dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berupaya bukan sahaja memperkasa belia di Sabah tetapi juga aspek-aspek lain termasuk pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di wilayah itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Kali Ke-26 dan Malam Apresiasi Majlis Belia Sabah (MBS) dekat sini pada Sabtu berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM16.89 juta bagi membangun dan memperkasa belia di Sabah tahun ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri komited terhadap pembangunan belia di Sabah kerana mahu melahirkan generasi belia yang mempunyai kualiti ilmu, kemahiran dan kepemimpinan bagi mencapai kesejahteraan sosio-ekonomi.
Tambahnya, belia perlu dipersiapkan dengan ilmu, kepimpinan dan kemahiran agar mereka mampu memimpin dan membawa masyarakat kepada kebenaran dan keadilan.
“Justeru amat penting kekuatan setiap agensi yang terbabit dalam pembangunan belia diselaraskan dan dilaksanakan mengikuti keperluan setempat bagi menyantuni para belia mengikut kesesuaian potensi dan kemahiran mereka, ” katanya.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment