KOTA KINABALU: Umat Islam mesti kekal bersatu, berjalan seiringan dan saling bersetuju dalam apa juga isu dan masalah yang dihadapi dalam dunia mencabar hari ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Dunia hari ini tidak lagi seperti zaman Rasulullah SAW, malah jika dibandingkan keadaan semasa dengan tiga atau empat dekad yang lalu, keadaannya amat berbeza.

Kemajuan ilmu pengetahuan khususnya di zaman daripada ledakan teknologi maklumat yang canggih dan semakin berkuasa di zaman moden ini, banyak mengubah suasana kehidupan.

“Hari ini kita berdepan dengan pelbagai cabaran, baik dalam politik, ekonomi, sosial, kesihatan, alam sekitar dan bekalan makanan termasuk cabaran besar yang dihadapi oleh seluruh umat Islam iaitu Islamofobia.

“Menghadapi semua cabaran itu, kita sebagai umat Islam perlu bersatu padu, berjalan beriringan dan bermuafakat dalam apa jua isu dan masalah yang kita hadapi. Kerjasama dan kesepakatan itu akan melahirkan perpaduan dan kekuatan.Jika kita kuat kita akan mudah menang dan mencapai kejayaan,” katanya pada majlis sambutan Maal Hijrah 1445H peringkat Negeri di Dewan Sa’adah, Wisma Muis, di sini Rabu, yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isterinya Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Hajiji berkata, dunia Barat tidak akan berhenti mencipta pelbagai tuduhan untuk memburukkan imej Islam termasuk merungut tentang negara yang didominasi umat Islam.

“Tindakan membakar Kitab Suci Al-Quran atas nama kebebasan bersuara adalah kemegahan tamadun Barat yang amat kita kecam. Walaupun begitu, sebagai sebuah negara yang cintakan keamanan dan ketenteraman, kita tidak akan bertindak balas dengan memusnahkan kitab-kitab suci agama lain.

“Sebaliknya, kita di Malaysia berazam untuk mencetak sejuta kitab suci al-Quran bagi menggantikan naskhah al-Quran yang telah dibakar.Oleh itu, saya ingin menyarankan agar Majlis Agama Islam Sabah (Muis) berganding bahu dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) misalnya mengadakan inisiatif dakwah dengan menyokong usaha Kerajaan Madani Malaysia yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha ini,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri bersama-sama Kerajaan Persekutuan terus komited dalam memastikan pembangunan syiar Islam di negara ini terus dipergiatkan terutama dalam membentuk masyarakat madani yang mengutamakan nilai ukhuwah dan kemanusiaan yang juga merupakan tuntutan agama.  

“Saya juga yakin sikap toleransi kaum dapat terus dipupuk dan dipertingkatkan agar kita terus hidup dalam keadaan aman, damai dan harmoni.Formula kejayaan kita selama ini didorong oleh pembangunan sahsiah insani yang saling menghormati dan mempercayai dalam mewujudkan semangat kerjasama walaupun dalam kepelbagaian kaum, etnik dan budaya.

“Ini adalah keunikan dan keistimewaan yang ada di negeri Sabah yang patut kita banggakan dan pertahankan.Justeru, saya menyeru, dengan semangat hijrah yang dipelopori oleh Baginda Rasulullah SAW, agar kita sama-sama bergerak dalam mempertahankan dan memperkukuh keharmonian, perpaduan dan persefahaman yang telah dirintis oleh leluhur kita,” katanya.

Ketua Menteri turut mengajak seluruh umat Islam di Sabah merenung sejenak kisah silam perjuangan suci Nabi Muhammad SAW, ketabahan baginda menghadapi segala dugaan dan cabaran dalam mengharungi hijrah sehingga berjaya membina negara dan kerajaan.

 Katanya, sambutan Ma’al Hijrah bukan sahaja menyambut kedatangan tahun baharu tetapi lebih kepada menghargai perjuangan menegakkan keadilan dan kebenaran, memperkukuh ajaran Islam serta membina ukhuwah sesama umatnya.

TAMAT

Previous articlePeningkatan pemberian khas bukti Sabah di landasan tepat: Hajiji
Next articleNo let-up in 40pc target, says Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here