KOTA KINABALU: Cadangan membuka dua lagi kawasan taman perindustrian di negeri ini yang berlokasi di Kimanis serta kawasan antara Kota Belud dan Kota Marudu sudah diputuskan dalam mesyuarat Kabinet.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, cadangan berkenaan berikutan kawasan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang hampir penuh.
“Bagi memberi peluang supaya industri dapat dibangunkan di Sabah, kerajaan perlu mencari kawasan lain.
“Kabinet memutuskan untuk mencadangkan dua kawasan iaitu di Kimanis dan juga antara Kota Marudu dan Kota Belud.
“Tujuannya supaya kita membangunkan industri bagi menempatkan pelabur-pelabur yang berminat dan mahu melabur di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pelancaran Jelajah Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini hari ini.
Menurutnya, buat masa ini kerajaan dalam proses mengenal pasti kawasan tanah untuk pembangunan taman perindustrian berkenaan.
Selain itu jelasnya, cadangan taman perindustrian di Kimanis untuk industri minyak dan gas manakala kawasan antara Kota Belud dan Kota Marudu untuk industri yang dijalankan seperti di KKIP.
Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji berkata, sejak kerajaan GRS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri lebih dua tahun lalu, hampir 30 wakil negara luar melawat Sabah dan berminat untuk membuat pelaburan.
“Mereka yakin Sabah mempunyai potensi besar dalam pelaburan dan mereka datang menyatakan keinginan untuk meneroka apa yang boleh mereka lakukan di Sabah.
“Pihak pelabur menunjukkan minat kerana mereka nampak dasar dan polisi kerajaan yang baik serta kestabilan politik hingga membawa mereka untuk melabur ke Sabah.
“Sabah juga mempunyai kedudukan yang strategik dengan lokasi negara lain termasuk China, Korea, Jepun, Filipina, dan Indonesia,”
jelasnya.
Dalam pada itu beliau berkata, cadangan taman perindustrian di kedua-dua kawasan masing-masing melibatkan tanah berkeluasan sekitar 15,000 hingga 20,000 ekar.
— TAMAT
Add Comment