BANDAU:Sempena perayaan yang disambut oleh seluruh umat Islam ini, Yang Berbahagia Datuk Maijol Mahap, Ahli Majlis Tertinggi merangkap Ketua Bahagian Gagasan Rakyat N6 Bandau bersama AJK Bahagian telah menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidiladha di Kampung Tambun Laut pada Ahad pagi (2 Julai). Ketua-ketua cawangan dan ahli-ahli Gagasan Rakyat juga turut serta dalam majlis yang mulia dan penuh keberkatan ini.
Jadual acara bermula pada 10.30 pagi, namun YBhg Datuk bergerak lebih awal untuk menziarahi orang yang telah meninggal dunia di Kampung Marudu Laut. Beliau menziarahi pada awal pagi sebaik sahaja dihubungi tentang musibah yang menimpa ahli keluarga tersebut.
Selepas ziarah tersebut, YBhg Datuk bergegas ke Majlis Ramah Mesra Hariraya Aidiladha seperti yang dijadualkan. Ketibaan beliau dan rombongan disambut dengan penuh kemesraan oleh pihak penganjur dan penduduk setempat.
Majlis bermula dengan ucapan Pengerusi Penganjur mengalu-alukan kehadiran YBhg Datuk dan rombongan, serta orang ramai samada Muslim dan bukan Muslim yang turut hadir.
Pengerusi penganjur, yang mewakili masyarakat Kampung Tambun Laut, meluahkan rasa berterima kasih dan bersyukur diatas kemurahan hati YBhg Datuk yang telah menyumbangkan seekor lembu korban. Pengerusi penganjur juga meluahkan kekesalan, apabila pernah dijanjikan dengan pelbagai janji kosong dari seorang pemimpin namun semua janji tersebut tidak ditunaikan. Mengakhiri ucapan Pengerusi Penganjur mewakili masyarakat Kampung Tambun Laut berdoa agar YBhg Datuk sentiasa sihat dan dimurahkan rezeki, serta diberi peluang untuk mewakili DUN Bandau pada pilihanraya akan datang.
Dalam ucapan perasmian YBhg Datuk Maijol Mahap menekankan bahawa perpaduan kaum dan agama yang wujud di Sabah sudah terjalin sejak dahulu lagi dan harus dijaga dan dipelihara. Beliau juga menceritakan mengenai mendiang Bapa beliau yang sangat rapat dengan kaum Bajau (Samah) dan fasih berbahasa Bajau (Samah) dahulu, dan beliau sendiri mempelajarinya serta boleh berbahasa Bajau (Samah). Demikian juga dengan agama, ramai ahli keluarga beliau memeluk agama Islam, namun keakraban, kemesraan, dan ikatan kekeluargaan tetap terjalin seperti biasa.
Pada masa yang sama, YBhg Datuk menceritakan kejadian dua hari yang lalu ketika beliau pergi memenuhi jemputan rumah terbuka di Pekan Lama, di mana Kampung Tambun dan Pekan Lama hanya dipisahkan oleh sebatang sungai iaitu Sungai Bandau. Beliau terserempak dengan belia-belia yang baru habis bermain bola sepak yang sedang melintas jambatan gantung untuk pulang ke rumah. Keadaan jambatan gantung yang daif tersebut memerlukan pembaikan segera untuk mengelakkan berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Beliau turut berkongsi beberapa gambar dan rakaman yang dikirim melalui aplikasi WhatsApp kepada YAB Ketua Menteri pada ketika itu. Keprihatinan Ketua Menteri Sabah YAB DSP Haji Hajiji Haji Noor kepada rakyat Sabah khususnya di DUN Bandau terbukti apabila YAB Ketua Menteri akan meluangkan masa untuk mendengar sendiri keadaan rakyat di DUN Bandau melalui YBhg Datuk Maijol Mahap dalam masa terdekat nanti.
YBhg Datuk Maijol Mahap turut menggesa supaya rakyat DUN N6 Bandau untuk terus menyokong kerajaan GRS, kerana hanya kerajaan GRS sahaja yang boleh memberikan pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat.
Seterusnya beliau merasmikan Majlis Ramah Mesra Hariraya Aidiladha anjuran Gagasan Rakyat N6 Bandau dengan disambut tepukan gemuruh dari orang ramai yang hadir.
Pada majlis yang sama adalah penyerahan borang keahlian dari beberapa Ketua Cawangan yang turut hadir.
— Penerangan Gagasan Rakyat Bandau
Add Comment