Home » Modul Hadis 40 bina asas akhlak pelajar Islam
Berita Gagasan Rakyat Politik

Modul Hadis 40 bina asas akhlak pelajar Islam

ARIFFIN (tiga dari kiri) menyampaikan sijil dan hadiah penghargaan kepada salah seorang pelajar terbaik dalam penyampaian oral di majlis itu.

KOTA KINABALU: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Ariffin Arif menyambut baik modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah seluruh negara.

Beliau yang juga Exco Pendidikan Sabah berkata, modul berkenaan yang dilancarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), baru-baru ini wajar untuk membina asas akhlak mulia dalam kalangan pelajar islam.

“Saya sambut baik kerana ia (modul Penghayatan Hadis 40) ini sangat baik untuk anak-anak kita yang beragama Islam kerana ia adalah asas penting untuk bina akhlak mulia, keperibadian, nilai anak yang soleh dan sebagainya.

“Hadis 40 ini turut merangkumi bidang keilmuan lain termasuk integriti, dan saya fikir untuk anak-anak kita yang beragama islam, ia wajar dihayati dan digarap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Simposium Bioteknologi Antarabangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, Rabu lalu.

KPM pada 19 Ogos lepas melancarkan modul hadis itu bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah, antara lain memupuk semangat kasih sayang, selain menerapkan kefahaman agama khususnya di kalangan pelajar dan guru beragama Islam.

Program rintis modul itu akan dilaksanakan di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) sebelum diperluas ke sekolah-sekolah di bawah KPM dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara tahun depan.

Bagaimanapun, modul yang dikhaskan untuk pelajar dan guru beragama Islam itu mendapat bantahan segelintir pihak, antaranya Parti Gerakan yang mempertikai pelaksanaannya walaupun sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu PAS menyokong usaha KPM itu.

Ariffin berkata, dalam konteks Sabah, pihaknya akan mendapatkan maklumat terkini mengenai modul berkenaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dalam masa terdekat.

“Bulan depan kami akan ada mesyuarat Exco Pendidikan Peringkat Kebangsaan namun saya juga akan mendapatkan maklumat terkini daripada Pengarah JPNS mengenai modul tersebut,” katanya. 

—  Iskandar Dzulkifli