Home » Pelan Tindakan Bersepadu diperlukan – Hajiji
Uncategorized

Pelan Tindakan Bersepadu diperlukan – Hajiji

Hajiji berkata, Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE atau Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi di Sabah.

KOTA KINABALU: Satu pelan tindakan bersepadu perlu diambil bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil aliran Sains menjelang 2025 di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, beliau mahu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bersama Jabatan Pendidikan Sabah serta agensi yang berkaitan menghasilkan pelan tindakan berkenaan.


“Ini kerana kadar penglibatan pelajar di dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) terutamanya sains tulen semakin menurun dan perkara ini membimbangkan. 


“Kita mahu menyediakan modal insan berkemahiran tinggi dalam bidang teknikal, Sains dan Teknologi bagi memenuhi keperluan pekerjaan masa hadapan.


“Kadar penglibatan pelajar dalam hidang STEM pada tahun ini hanya 27 peratus, masih jauh daripada sasaran kita untuk mencapai 60 peratus aliran Sains dan 40 aliran Sastera atau 60:40.


“Saya berharap KSTI, Jabatan Pendidikan Sabah dan semua agensi berkaitan dapat melahirkan satu pelan tindakan bersepadu bagi mencapai sasaran sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar mengambil bidang sains menjelang 2025,” katanya.


Beliau berkata, Pelan Strategik KSTI (2022-2025) telah digubal sebagai panduan dalam pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif untuk memperkasakan ekosistem STIE atau Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi di Sabah.


“Dalam masa sama, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah turut merangka Pelan Strategik STEM 2023-2025 yang merangkumi pelbagi program lonjakan STEM yang melibatkan guru, pelajar, pentadbir sekolah serta ibu bapa.


“Seperti mana yang kita sedia maklum, generasi muda merupakan pelapis utama negara yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan modal insan yang mencukupi dan berkemahiran tinggi untuk memacu pembangunan negeri serta negara. 


“Oleh itu, sudah tentunya ini berkait rapat dengan pendidikan STEM yang mana ia adalah asas terpenting bagi penghasilan modal insan yang berkemahiran tinggi,” katanya.


Hajiji yang menyokong penuh penganjuran Majlis Anugerah Sains Sabah (MASS) itu berkata, ia adalah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan para saintis, teknologis, inovator tempatan dalam memperkasakan dan mempromosikan bidang Sains, Teknologi serta Inovasi (STI) khususnya di Sabah.

Yap Siong Han