TAWAU: Penganjuran Expo Agro Sabah 2023 (SAEX2023) di daerah ini dilihat selari dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025 yang visinya meletakkan negeri ini berpendapatan tinggi.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri memberi fokus terhadap bidang pertanian, pembuatan dan pelancongan dalam menjana pendapatan Sabah.
Katanya, ketiga-tiga bidang berkenaan semakin berkembang ketika ini dan menjadi sumber terbesar pendapatan negeri Sabah.
“Kerajaan sangat menggalakkan dan menyokong setiap usaha yang dilaksanakan mana-mana pihak bagi memajukan sumber yang boleh menjana pendapatan negeri.
“Justeru, penganjuran SAEX2023 ini dilihat dapat membantu pemain industri pertanian sama ada dari segi jentera, baja dan teknologi terkini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan SAEX2023 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini semalam.
Menurutnya, pemilihan daerah ini sebagai lokasi SAEX2023 adalah tepat kerana sememangnya Tawau merupakan bumi peladang dan melahirkan ramai usahawan pertanian.
“Saya melihat sambutan SAEX2023 di daerah ini sangat memberangsangkan dan mendapat sambutan daripada syarikat-syarikat industri pertanian.
“Semua masyarakat yang berminat dalam bidang pertanian perlu mengambil kesempatan dan manfaat daripada penganjuran yang julung kali diadakan di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Nizam menjelaskan usahawan di daerah ini perlu bersedia dan meningkatkan kualiti produk mereka supaya boleh bersaing sehingga ke peringkat antarabangsa.
Katanya, Ibu Kota Indonesia akan berpindah ke Nusantara, Kalimantan tidak lama lagi dan sudah pasti memberi impak secara tidak langsung terhadap daerah berhampiran termasuk Tawau dan Kalabakan.
“Saya mengharapkan semua usahawan terutamanya dalam bidang pertanian akan meningkatkan kualiti produk mereka dan menguasai teknologi yang sedang berkembang.
“Semua pemain industri tidak boleh memandang ringan terhadap penggunaan teknologi sekiranya tidak mahu terus ketinggalan dari arus kemodenan,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui; Ketua Perwakilan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau, Heni Hamidah dan Pengarah Urusan ESM Exhibitor Relations Malaysia, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal.
— Hamzah Sanudin
Add Comment