LAHAD DATU: Perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menjadi faktor perpecahan di kalangan masyarakat, khususnya Islam.
Timbalan Yang DiPertua Pertubuhan Usia Sabah, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan berkata, hari ini kita berdepan dengan krisis perpecahan umat islam yang begitu serius.
Katanya, antara faktor utama yang membawa kepada perpecahan adalah perbezaan fahaman politik yang mana sikap rakus dan mementingkan diri menyebabkan kita lupa bahawa umat Islam adalah bersaudara.
“Politik ini seharusnya dijadikan wadah untuk membantu rakyat serta memajukan negara, dan tidak seharusnya dicampur adukkan dengan agama.
“Kita harus menjaga serta mengeratkan persaudaraan sesama kita bagi mengelakkan perpecahan,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024 Peringkat Daerah Lahad Datu.
Bercakap mengenai sambutan itu, Abdul Hakim berkata Maal Hijrah adalah momen terbaik untuk mengeratkan tali silaturrahim serta meningkatkan rasa saling menghormati dan saling menyayangi sesama umat islam.
Katanya, sambutan ini juga saat dan peluang terbaik untuk merefleksi diri, pencapaian serta menetapkan tujuan baru dalam meningkatkan kualiti kehidupan.
“Harapan saya, semoga sambutan Maal Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat selaras dengan tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’.
“Mari kita berazam dan berusaha meninggalkan segala perbuatan yang dilarang Allah serta melazimi perkara yang disyariatkan oleh Islam serta berusaha demi mencapai kejayaan yang lebih tinggi dalam kehidupan masing-masing,” tambahnya.
Sementara itu, sambutan Maal Hijrah peringkat daerah Lahad Datu pada tahun ini memilih pemimpin masyarakat, Datuk Mizma Appehdullah sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah.
Mizma merupakan seorang pemimpin yang dikenali dengan kerja-kerja amal serta sentiasa menyokong pelaksanaan program-program dakwah di daerah ini.
Ketika ditemui, Mizma menzahirkan rasa syukur atas Anugerah yang diterima dan menyifatkannya sebagai pemangkin untuk beliau terus menyumbang kepada pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam serta membantu masyarakat.
“Saya berbesar hati menerima anugerah ini dan berharap ia turut memberi motivasi buat semua agar kita terus berusaha menjadi lebih baik dan memberi sumbangan kepada pembangunan ummah,” tambahnya.
— Azmie Lim
Add Comment