Pada 22 Januari bersamaan dengan hari Isnin, Majlis Taklimat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ajuran Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) telah diadakan di Wisma IDS khusus untuk kepimpinan wanita yang terdiri dikalangan  Ketua Wanita, Naib Ketua Wanita, Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan daripada semua Parti-Parti Komponen GRS .

Penulis merupakan salah satu peserta yang menghadiri sesi taklimat itu.

Objektif utama taklimat ini adalah untuk memberi kefahaman mengenai MA63 perlu disebarluas hingga ke peringkat akar umbi bagi memastikan rakyat tahu apa yang diperjuangkan selama ini.

Seperti mana yang kita tahu, umum mengenali Perjanjian Malaysia 1963 sebagai “MA63”.

MA63  sebuah dokumen yang ditandatangani oleh pihak-pihak “United Kingdom of Great Britain dan Northern Ireland, Persekutuan, Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura” yang ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London dan teks yang sah di sisi undang-undang bagi setiap Perkara di dalam perjanjian ini ialah di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Di dalam perjanjian ini, terdapat sebanyak 11 Perkara yang disusuli dengan lampiran-lampiran yang menjadi asas kepada Akta 26/1963 untuk meminda perlembagaan sedia ada iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu kepada Perlembagaan Persekutuan Malaysia, selaras dengan penggabungan bersama Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Singapura.

Setiap satu daripada Perkara yang terdapat di dalam perjanjian ini berfungsi sebagai perkara dan arah tuju yang harus diikuti, dipatuhi dan ditunaikan oleh semua pihak yang telah menandatangani perjanjian ini.


Berikut merupakan 11 Perkara yang menjadi intipati perjanjian ini:

Perkara 1: Menyatakan bahawasanya Borneo Utara dan Sarawak, dan Singapura akan disekutukan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan dikenali sebagai Negeri Sabah, Negeri Sarawak dan Negeri Singapura mengikut surat cara Perlembagaan yang dilampirkan pada surat perjanjian dengan penamaan Persekutuan dengan nama “Malaysia”;

Perkara 2: Menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk menggubal Perlembagaan melalui Parlimen Persekutuan dengan memastikan surat cara Perlembagaan yang dilampirkan akan menjadi suatu Akta untuk dipatuhi di dalam Perlembagaan yang digubal dan akan berkuatkuasa pada 31 Ogos 1963 dan tarikh ini akan dikenali sebagai “Hari Malaysia” (tarikh ini kemudian berubah kepada 16 September 1963 disebabkan oleh beberapa hal).

Perkara 3: Menyatakan mengenai tanggungjawab kerajaan United Kingdom untuk menyerahkan kepada Queen, perintah-perintah untuk membolehkan Perlembagaan negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Singapura berkuatkuasa mengikut lampiran-lampiran perlembagaan setiap negeri tersebut yang dilampirkan bersama-sama surat perjanjian.

Perkara 4: Menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan United Kingdom untuk mendapatkan penggubalan satu Akta di Parlimen United Kingdom bagi membolehkan perlepasan hak kedaulatan oleh Queen ke atas Borneo Utara, Sarawak dan Singapura, bermula pada “Hari Malaysia” dan diserahkan kuasa itu mengikut Perjanjian dan lampiran-lampirannya.

Perkara 5: Menyatakan mengenai kewajipan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk mendapatkan penggubalan Akta oleh Parlimen bagi meminda skop imigresen untuk kemasukan ke Sabah dan Sarawak serta peruntukan-peruntukan khas seperti lampiran yang tertentu yang dilampirkan bersama-sama Perjanjian ini akan tertakluk kepada penggubalan Akta tersebut.

Perkara 6: Menyatakan mengenai Perjanjian Pertahanan Luar dan Bantuan Bersama antara Persekutuan Tanah Melayu dan United Kingdom pada 1957, kini akan diperluaskan bagi semua wilayah “Malaysia” serta kebenaran untuk United Kingdom terus menggunakan pangkalan-pangkalan tentera sedia ada, terutamanya di Singapura, seperti mana dalam lampiran di dalam Perjanjian ini.

Perkara 7: Menyatakan mengenai persetujuan bagi membolehkan Queen membuat perintah mengenai pembayaran saguhati kepada para pegawai dalam perkhidmatan awam yang berkhidmat, terutama di North Borneo dan Sarawak sebelum Hari Malaysia. Selain itu, ia turut menyentuh mengenai Perjanjian Pegawai Awam yang harus ditandatangani oleh Kerajaan United Kingdom dan Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia juga hendaklah memperoleh persetujuan daripada Kerajaan Sabah, Sarawak atau Singapura sebelum menandatangan perjanjian itu.

Perkara 8: Menyatakan mengenai tanggungjawab Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak untuk mengambil tindakan bagi melaksanakan segala syor, jaminan dan aku janji yang terdapat di dalam Bab III dan Lampiran A dan Lampiran B Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan yang ditandatangani pada 27 Februari 1963 selagi mana ia tidak dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 9: Menyatakan mengenai keperluan menjadikan Lampiran J yang berkenaan dengan Pasaran Bersama dan perkiraan kewangan di dalam perjanjian ini dijadikan sebagai Perjanjian antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura.

Perkara 10: Menyatakan mengenai keperluan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Singapura dalam menjalankan kuasa-kuasa yang ada berkenaan siaran radio dan televisyen seperti mana termaktub di dalam Lampiran K di dalam Perjanjian ini selagi ia tidak dilaksanakan melalui Perlembagaan Malaysia.

Perkara 11: Menyatakan mengenai keperluan Perjanjian ini ditandatangani di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sahaja manakala setiap lampirannya hanyalah di dalam Bahasa Inggeris. Jika kekeliruan berlaku, maka naskhah Bahasa Inggeris akan digunakan sebagai tafsiran yang sah.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan (Sabah),Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun berkata, kefahaman mengenai perjanjian tersebut merupakan suatu perkara yang sangat penting kerana ia merupakan satu perkara perlu diperjuangkan bersama.

Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita GRS berkata setiap maklumat, informasi dan penerangan mengenai perjanjian ini harus sampai kepada seluruh rakyat Sabah kerana sekiranya mereka tidak memahami mengenai apa yang diperjuangkan mereka pasti tidak akan bersama-sama kita.

Ini kerana usaha tersebut tidaklah eksklusif hanya kepada satu-satu pihak sahaja dan apapun yang diperjuangkan untuk kebaikan rakyat mestilah disokong oleh semua ujarnya.

Bagi memastikan Wanita tidak ketinggalan dalam menyumbang pembangunan ekonomi, politik, kebudayaan dan komuniti negeri Sabah, Ketua Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Datuk Dr. Ramzah Dambul berharap  program taklimat seperti ini akan menjadi pemacu kepada lebih banyak program-program bersama wanita di peringkat akar umbi dan memperkasakan peranan mereka dengan memupuk keupayaan kepemimpinan dalam politik dan pelbagai peringkat lain khususnya sektor korporat dalam penyampaian maklumat secara komprehensif dan jitu.

Sebagai wanita di akar umbi,penulis turut menyambut baik usaha pemerkasaan wanita melalui program taklimat yang memupuk kefahaman MA63 seperti ini dan berharap ianya diteruskan.

Kefahaman mengenai perjanjian tersebut merupakan suatu perkara yang sangat penting dan ia memerlukan komitmen dari semua pihak.

Pepatah Inggeris ada mengatakan “teamwork makes the dream work”. Dalam erti kata lain, muafakat membawa berkat. Apabila kita bekerja sama dan mencapai persetujuan, maka hasilnya akan memberi manfaat yang baik.

Justeru,golongan wanita berhak mendapat pendidikan sewajarnya malah diberi peluang menjadi pemimpin berbekalkan ilmu pengetahuan.

Sekiranya potensi wanita dapat dicapai sepenuhnya, wanita mampu memberikan sumbangan besar dalam pembangunan negeri Sabah secara keseluruhannya khususnya dalam perjuangan menuntut hak-hak Sabah selari dengan aspirasi MA63.

Taklimat yang berlansung selama sehari itu disampaikan oleh Ariff Adi Putera Anwar yang merupakan  Penyelidik Bersekutu Institut Kajian Pembangunan (Sabah).

Topik MA63 bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibincangkan.Ia memerlukan kefahaman dan pengetahuan yang mendalam.Meskipun dihujani dengan pelbagai soalan, beliau sebagai pemberi taklimat kekal tenang dan menjawab isu-isu yang diutarakan dengan cara yang bersahaja.

Syabas dan tahniah Saudara Ariff Adi Putera.

Dianggarkan seramai 65 peserta yang terdiri daripada pemimpin wanita dari seluruh Sabah menghadiri sesi taklimat tersebut.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovia Ng dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kunak, Datuk Norazlinah Arif, Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Silam Datuk Mizma Appehdullah serta pimpinan Wanita dari Parti-Parti Komponen GRS.



* Lailawati Julie yang dikenali sebagai Julia ABT merupakan Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Bahagian Luyang dan Exco Wanita Gagasan Rakyat Pusat.
**Penulisan ini berdasarkan daripada pengalaman beliau yang menghadiri Majlis Taklimat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) anjuran Wanita GRS dan IDS.

Previous articleKefahaman MA63 perlu diperluas ke akar umbi – Azizah
Next articleHajiji terima kunjungan MB Selangor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here