KOTA KINABALU: Qhazanah Sabah Berhad (QSB) masih sedang mencari tapak yang sesuai untuk menubuhkan Pusat Dialisis bagi menyediakan kemudahan kepada pesakit di sini.

Pengerusinya,  Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebelum ini telah membenarkan QSB untuk menubuhkan pusat berkenaan di sini.


“Bagaimanapun, pihak QSB masih mencari tapak yang sesuai…sebelum ini kita ada memohon kepada Persatuan Pencegah Batuk Kering Sabah (SABATA) untuk menyewa kawasan mereka.


“Tetapi mereka merancang untuk merobohkan bangunan sedia ada dan membangunkan semula kawasan itu, ” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek kepada Persatuan Wartawan Sabah (SJA) di sini, hari ini.


Beliau berkata, sekiranya tiada tapak yang sesuai maka QSB terpaksa menyewa premis-premis perniagaan yang berada di sekitar bandaraya ini untuk membangunkan Pusat Dialisis.


Katanya, dana berjumlah beberapa ratus ribu sudah disediakan untuk menubuhkan pusat berkenaan dan satu usaha diperlukan bagi mempercepatkan penubuhan kemudahan itu.


“Mesin dialisis juga kita akan sediakan dan terdapat pengedar yang sanggup bekerjasama dengan kita dalam hal ini dengan menawarkan harga berpatutan tetapi berkualiti.


“Kita akan bermula dengan empat sehingga lima mesin dialisis sebagai permulaan,” katanya. 


Dalam pada itu, beliau menjelaskan QSB akan membangunkan tanah terbiar milik syarikat berkenaan berdekatan dengan Hospital Queen Elizabeth II di sini untuk dibangunkan sebagai Pembangunan Campur.


“Tanah berkenaan sudah terbiar lama, daripada diduduki Pendatang Tanpa Izin (PTI) bagus kita bangunkan. Inilah hasrat saya sejak dilantik sebagai Pengerusi QSB.
“Beberapa cadangan sudah diterima, kita akan membuat saringan tetapi ‘mixed development’ adalah pilihan terbaik.

Bagaimanapun, semua cadangan masih dalam pertimbangan,” katanya.


Sebelum itu, QSB turut menyampaikan tajaan bernilai RM50,000 kepada SJA untuk menganjurkan Kinabalu Press Awards 2023.
 

— Yap Siong Han

Previous articlePemimpin politik peringkat daerah perlu bersedia terima kritikan – Masiung
Next articleBelia perlu pendedahan awal ilmu pengurusan jenazah – Mizma

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here