Home » Rakyat Sabah perlu bersatu tentukan nasib politik sendiri – Hajiji
Uncategorized

Rakyat Sabah perlu bersatu tentukan nasib politik sendiri – Hajiji

KENANGAN: Pandikar (kiri) ketika menyerahkan cendera kenangan kepada Hajiji selepas majlis perasmian itu.

PENAMPANG: Rakyat Sabah perlu bersatu agar negeri ini mampu berdiri kukuh tanpa perlu bergantung kepada parti politik besar yang lain.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia penting kerana sekiranya rakyat bersatu, masyarakat negeri ini boleh menentukan nasib politik sendiri.

“Untuk sebab ini, saya menerima cabaran untuk menyatupadukan semua pemimpin Sabah di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya ketika merasmikan Ibu Pejabat Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) di sini, semalam.

Beliau berkata, objektif utama pembentukan GRS adalah mahu semua parti tempatan Sabah disatukan dalam satu gabungan.

Katanya, bukan tugas mudah untuk membawa para pemimpin seperti Tan Sri Pandikar Amin Mulia (USNO), Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (SAPP), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili (PBS), Datuk Chin Su Phin (LDP) dan Tan Sri Liew Yun Fah (Parti Harapan) ke dalam GRS.

“Banyak cabarannya tetapi saya ikhlas untuk mengumpulkan semua pemimpin ini. Saya mahu Sabah bergerak maju dan dihormati,” katanya yang juga Pengerusi GRS.

Beliau mengingatkan politik adalah dinamik dan boleh berubah mengikut masa dan ia boleh dilihat apabila Sabah kerap kali bertukar kerajaan dari USNO, BERJAYA, PBS, BN WARISAN, BERSATU dan kini GRS.

Hajiji masih ingat bahawa beliau memulakan kerjaya politik dalam USNO pada 1990 apabila dipilih sendiri Presiden USNO ketika itu, Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun untuk menjadi calon di  Sulaman.

“Saya adalah kakitangan kerajaan dan saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli politik yang mana USNO adalah pembangkang ketika itu.

“Saya tahu bukan mudah menjadi wakil rakyat pembangkang tetapi selepas pelbagai cabaran, saya menang.

“Di situlah perjuangan politik saya bermula, sebab itu saya tidak teragak-agak apabila dijemput Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk merasmikan pembukaan Wisma USNO malam ini. 

“Saya datang kerana saya ingat dan hormati segala perkara yang USNO lakukan untuk saya,”  katanya.

Hajiji turut menasihati ahli USNO dan para penyokongnya agar terus berdiri teguh dibawah kepimpinan Pandikar dalam usaha membangunkan semula parti berkenaan menjadi kukuh dalam GRS.

— TAMAT