KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM16.89 juta bagi melaksanakan pelbagai program belia membabitkan pembangunan kepimpinan dan kemahiran dalam memperkasakan golongan itu selaras dengan Dasar Belia Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pihaknya terus komited terhadap pembangunan belia di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri juga mengakui cabaran yang dihadapi oleh institusi seperti Pusat Latihan Belia Montfort (MYTC) yang kekurangan sumber pendapatan tetap serta komited untuk menyokong mereka.
“Kerajaan Persekutuan dan negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk memastikan organisasi seperti MYTC boleh mendapat manfaat.
“Ia termasuklah peningkatan peruntukan belanjawan untuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan ketersediaan sumber serta pengembangan skim biasiswa dan dermasiswa untuk pelajar, antara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Amal Ulang Tahun ke-25 MYTC di Magellan Sutera Harbour malam tadi. Ucapannya dibacakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Menurutnya, kerajaan negeri juga menyokong misi MYTC untuk membantu belia yang kurang bernasib baik dengan menawarkan peluang untuk memecahkan kitaran kemiskinan dan mencapai potensi penuh mereka.
Beliau berkata, ia merupakan satu peristiwa penting bagi MYTC meraikan 25 tahun dalam mendidik belia di Sabah.
“Memandangkan ekonomi Sabah meneruskan pertumbuhan positif, pembangunan belia memainkan peranan penting dalam kemajuan ekonomi wilayah kita.
“Graduan MYTC bukan sahaja pekerja mahir, mereka adalah individu yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan dan kemajuan masyarakat kita,” katanya.
Katanya, mereka juga menunjukkan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional adalah sama berharga dan berkuasa dalam membentuk masa depan yang lebih baik untuk belia Sabah.
“Program pembentukan watak Montfort amat perlu diberi perhatian. Misinya untuk memperkasakan belia dan memanfaatkan potensi penuh mereka, terutamanya dari pedalaman dan yang tercicir daripada pendidikan arus perdana, adalah dipuji.
“Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan menekankan komitmen kerajaan negeri terhadap pemerkasaan belia dengan menyediakan peluang kepada golongan muda.
“Ia juga sekali gus untuk mengembangkan kemahiran mereka dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi dan masyarakat negeri,” katanya.
Hajiji juga menyeru MYTC untuk melihat ke hadapan dan mengikuti perkembangan pesat dunia pekerjaan, yang didorong oleh kemajuan teknologi dan perubahan landskap ekonomi.
“Institusi pendidikan kita yang termasuk TVET mesti menyesuaikan diri dengan perubahan ini untuk kekal relevan dan berkesan. Saya yakin MYTC akan terus menerajui hal ini.
“Dengan menerima teknologi baharu, memupuk inovasi dan mengukuhkan kerjasama industri, MYTC boleh menyediakan pendidikan vokasional yang memenuhi keperluan masa kini dan akan datang,” katanya.
Hajiji juga berbesar hati untuk menyatakan rancangan MYTC untuk menghidupkan semula Program Perempuan, yang sejajar dengan usaha negeri untuk menggalakkan kesaksamaan gender dan memperkasakan wanita dalam kedua-dua peranan ekonomi dan kepimpinan.
“Dengan memberi tumpuan kepada pembangunan wanita muda, MYTC menyumbang kepada landskap sosio-ekonomi yang lebih inklusif dan seimbang di Sabah,” katanya.
Hajiji merakamkan ucapan terima kasih kerajaan negeri kepada Brothers of St. Gabriel, Lembaga Gabenor MYTC, serta pengurusan dan kakitangan MYTC atas dedikasi dan kerja keras mereka yang telah menjadikan institusi ini sebagai tonggak masyarakat dan memberi peluang kedua kepada belia.
“Kepada pelatih dan alumni, anda adalah kebanggaan MYTC dan penggerak di sebalik kejayaannya. Terima kasih juga, kepada semua rakan industri dan penaja atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka.
“Di samping itu, ucapan terima kasih kami kepada Tan Sri Bernard Dompok, yang telah menyumbang kepada misi ini,” katanya.
— TAMAT
Add Comment