Home » Tindakan Raymond hanya untuk publisiti murahan – Gagasan Rakyat Nabawan
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Tindakan Raymond hanya untuk publisiti murahan – Gagasan Rakyat Nabawan

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan, Marutin Ansiung berkata Dengan tertubuhnya Gagasan Rakyat Bahagian Nabawan dan Pensiangan, yang mendapat sokongan amat baik daripada rakyat akar umbi, menyebabkan Raymond semakin terdesak sehingga sanggup menggunakan isu salah guna kuasa dan SPRM semata-mata untuk menaikkan namanya.

NABAWAN: Tindakan Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pensiangan, Raymond Ahuar membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hanya untuk meraih publisiti murahan.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Nabawan, Marutin Ansiung berkata, Raymond sengaja membangkitkan isu itu untuk mendapatkan perhatian umum, berikutan sokongan akar umbi terhadap partinya di bahagian Pensiangan semakin merosot dan terhakis.

“Soal salah guna kuasa oleh ADUN seperti yang didakwa oleh Raymond adalah tidak berasas dan ini merupakan satu fitnah, perkara ini telah beliau jelaskan semasa sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang lalu.

“Sekiranya ada berlaku unsur salah guna kuasa, maka pihak SPRM sudah pasti telah membuat siasat. Namun semua ini tidak berlaku kerana tindakan ADUN Nabawan itu adalah untuk kepentingan rakyat.

“Justeru, tuduhan dan laporan SPRM oleh Raymond adalah tidak berasas dan sengaja direka-reka bagi mencalarkan nama baik dan reputasi ADUN Nabawan.

“Kita berpegang dan menyerahkan kepada kedaulatan undang-undang untuk tindakan selanjutnya diambil terhadap pihak yang sengaja membuat fitnah dengan niat jahat terhadap ADUN Nabawan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Marutin berkata, kepimpinan PKR negeri ini dan Pusat tentu sedar tentang prestasi bahagian Pensiangan pimpinan Raymond yang kurang memberangsangkan, malahan semakin hilang sokongan daripada rakyat di peringkat akar umbi apabila Raymond gagal membawa perubahan di kawasan itu.

“Dengan tertubuhnya Gagasan Rakyat Bahagian Nabawan dan Pensiangan, yang mendapat sokongan amat baik daripada rakyat akar umbi, menyebabkan Raymond semakin terdesak sehingga sanggup menggunakan isu salah guna kuasa dan SPRM semata-mata untuk menaikkan namanya,” katanya.

Beliau mengingatkan rakyat akar umbi khususnya ahli-ahli dan penyokong Gagasan Rakyat dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) agar tidak terpengaruh dengan isu itu yang bertujuan melemahkan pengaruh parti itu di kawasan pedalaman.

— Yap Siong Han