KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 Peringkat Negeri Sabah menyasarkan penyertaan kira-kira 600,000 orang menerusi penganjuran serentak di enam zon di seluruh negeri, Sabtu ini.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sambutan utama akan berlangsung di Padang Istiadat, Tuaran, dan dijadual dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, sambutan HSN turut diadakan serentak di lima zon lain membabitkan Tawau, Sandakan, Kudat, Beaufort dan Keningau.
“Penganjuran ini dijangka menghimpunkan kira-kira 600,000 rakyat di seluruh Sabah menerusi pelbagai program sukan dan aktiviti gaya hidup sihat.
“HSN bukan sekadar acara tahunan, tetapi mencerminkan komitmen kerajaan untuk membudayakan sukan sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian masyarakat dan bukan hanya ketika berlangsungnya pertandingan.
“Apabila badan sihat dan minda cergas, masyarakat dapat melaksanakan tanggungjawab serta tugasan harian dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi temu bual bersama SabahFM dan program Kami Bah Ni (KBI) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, Isnin.
Nizam berkata, pelbagai aktiviti telah dirangka bermula seawal jam 6 pagi bagi memastikan sambutan HSN dapat disertai semua lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Menurutnya, HSN 2026 mengetengahkan tema “Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)”, sejajar dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap sukan masa kini.
Antara tarikan yang diperkenalkan ialah Virtual Reality Taekwondo, yang membolehkan peserta merasai pengalaman taekwondo secara maya menggunakan peranti khas tanpa sentuhan fizikal.
Pengunjung juga berpeluang menyertai aktiviti e-Sukan, selain pelbagai program berbentuk fizikal termasuk Senamrobik Perdana, Larian Ria MADANI dan Berjalan Ria MADANI.
“Penggunaan teknologi dalam sukan memberi pengalaman baharu kepada masyarakat, namun pada masa sama kita terus mengekalkan aktiviti fizikal yang menggalakkan rakyat bergerak aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya.
Selain aktiviti sukan, pengunjung juga boleh mengunjungi reruai Jualan Rahmah serta berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi acara cabutan bertuah.
Nizam turut mengajak masyarakat, khususnya penduduk Tuaran dan kawasan sekitarnya, hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan serta mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan.
HSN merupakan program tahunan yang mula diperkenalkan pada 2015 dan disambut pada Sabtu minggu kedua Oktober setiap tahun.

























Add Comment