KOTA KINABALU:Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang penting dalam melahirkan modal insan berilmu dan berkemahiran bagi menentukan masa depan pembangunan Sabah.
Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun, berkata pembangunan negeri tidak seharusnya hanya diukur menerusi pembinaan infrastruktur fizikal, tetapi juga keupayaan membangunkan potensi generasi muda menerusi pendidikan.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dan Kerajaan Negeri atas komitmen berterusan memperluas akses pendidikan kepada anak-anak Sabah.
Menurutnya, pencapaian Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyalurkan lebih RM40.16 juta kepada 27,781 penerima bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026 mencerminkan keutamaan yang diberikan kepada pembangunan pendidikan negeri.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 penerima mendapat manfaat menerusi bantuan berjumlah kira-kira RM15.89 juta.
“Pendidikan adalah pelaburan yang amat penting untuk Sabah Maju Jaya. Tahniah dan syabas kepada YAB Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri atas usaha yang amat bermanfaat kepada anak-anak Sabah dan masa depan negeri.
“Pembangunan Sabah bukan setakat membina jalan dan jambatan. Kita juga perlu membangunkan anak-anak Sabah melalui pendidikan bagi melahirkan modal insan berpendidikan dan berkemahiran tinggi.
“Itulah sebabnya TPNS terus diperkasakan supaya lebih ramai anak Sabah mendapat peluang membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azizah berkata, usaha memperluas akses pendidikan turut disokong menerusi pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri termasuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), BAKTI, GRS-SUBFLY dan SENTOSA.
Beliau berkata, bantuan berkenaan amat penting khususnya kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah serta mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, faktor kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada anak Sabah yang berkelayakan untuk meneruskan pendidikan dan mengembangkan potensi mereka.
Azizah berkata, pelaburan dalam pendidikan juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas sebagai usaha menyediakan tenaga kerja berkemahiran dan generasi kepimpinan yang mampu membawa Sabah menghadapi cabaran masa hadapan.
“Kita bina infrastruktur untuk pembangunan hari ini, tetapi melalui pendidikan kita membina generasi yang akan menentukan masa depan Sabah.
“Setiap ringgit yang dilaburkan kepada pendidikan anak-anak Sabah adalah pelaburan kepada masa depan Sabah Maju Jaya, insya-Allah,” katanya.

























Add Comment