Home » TPNS bantu 27,781 pelajar, salur RM40 juta
Berita GRS • Politik

TPNS bantu 27,781 pelajar, salur RM40 juta

PENDIDIKAN: Hajiji bersama penerima bantuan TPNS selepas Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU:Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) telah menyalurkan bantuan berjumlah RM40 juta kepada 27,781 pelajar di seluruh negeri sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini sahaja, seramai 11,383 penerima dari seluruh pelosok Sabah mendapat manfaat menerusi bantuan TPNS berjumlah RM15.89 juta.

Menurut beliau, penubuhan TPNS berteraskan tema “Peluang Tajaan Untuk Semua” terbukti menjadi antara instrumen penting Kerajaan Negeri dalam memperluas akses rakyat kepada bantuan pendidikan.

“Majlis ini penting kerana kita bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi kita sedang membuka ruang dan peluang kepada anak-anak Sabah untuk terus belajar, mencapai cita-cita dan membina masa depan.

“Inilah antara tanggungjawab besar Kerajaan Negeri dalam membangunkan modal insan Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

BERSAMA: Hajiji bersama tetamu jemputan dan penerima bantuan TPNS pada majlis berkenaan — tabung yang telah menyalurkan RM40 juta kepada 27,781 pelajar sejak dilancarkan pada Jun 2022.

Hajiji berkata, pembangunan sesebuah negeri tidak hanya bergantung kepada pembinaan jalan raya, jambatan, bangunan dan infrastruktur, sebaliknya memerlukan sistem pendidikan yang kukuh dan berkualiti.

“Kita mesti melahirkan generasi yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mampu bersaing. Inilah pelaburan paling penting untuk masa depan Sabah,” katanya.

Beliau berkata, komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan pendidikan turut diterjemahkan menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan RM155 juta tahun ini, yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar di pelbagai peringkat, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menurutnya, peruntukan BKNS itu meningkat lebih tiga kali ganda berbanding RM50 juta pada 2020.

Selain itu, sebanyak 14 inisiatif berkaitan pendidikan diperkenalkan sepanjang 2021 hingga 2025 — termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) serta bantuan tiket penerbangan kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Mengenai bantuan yang disampaikan pada majlis itu, Hajiji berkata seramai 362 penerima dari sekitar Kota Kinabalu menerima manfaat keseluruhan berjumlah RM6.79 juta.

“Penyerahan bantuan pendidikan ini merupakan bukti nyata bahawa kerajaan tidak pernah membiarkan mana-mana anak Sabah tercicir daripada mendapat peluang pendidikan yang sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata usaha transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan pendidikan negeri bermula dengan pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) pada 2 Julai 2024.

PTPS berfungsi sebagai platform sehenti atau single window platform yang menghimpunkan lima agensi penaja dan pemberi bantuan pendidikan utama negeri dalam satu sistem bersepadu.

Menurut Hajiji, usaha pemodenan itu kini diperkukuh menerusi pelancaran Sistem TPNS Smart Application.

Aplikasi berkenaan membolehkan permohonan bantuan TPNS dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, selain membolehkan pemohon menyemak status permohonan secara masa nyata.

“Dengan kemudahan ini, proses permohonan diharap menjadi lebih mudah, cepat dan teratur, khususnya bagi anak-anak Sabah di seluruh pelosok negeri, terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Hajiji turut menyeru lebih banyak syarikat korporat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi serta meraih keuntungan di Sabah untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi sumbangan kepada TPNS.

Beliau berkata, kerjasama antara Kerajaan Negeri, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu membantu membina ekosistem pendidikan yang lebih kukuh untuk anak-anak Sabah.

Dalam pada itu, Hajiji menyifatkan ulang tahun ke-60 Kumpulan Yayasan Sabah tahun ini sebagai satu pencapaian penting bagi agensi berkenaan.

Beliau berkata, Yayasan Sabah telah memainkan peranan dalam memperkasa rakyat dan memacu pembangunan negeri menerusi pendidikan dan pembangunan modal insan, selain pembangunan ekonomi, sosial serta pemuliharaan alam sekitar.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment