KOTA KINABALU:Sabah tidak akan tergesa-gesa membawa projek karbon ke pasaran tanpa penelitian sewajarnya, meskipun negeri ini mempunyai potensi besar untuk membangunkan sektor berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata Kerajaan Negeri juga tidak akan membenarkan projek yang belum dinilai dengan teliti dipercepatkan untuk memasuki pasaran atau diperdagangkan secara spekulatif.
“Kita akan melindungi reputasi dan jenama Sabah melalui disiplin kawal selia yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata, projek yang dirangka dengan lemah, tuntutan iklim yang dibesar-besarkan, sumber yang dinilai terlalu rendah serta peminggiran komuniti pribumi boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah.
“Justeru, adalah demi kepentingan komersial Sabah untuk menegakkan piawaian tertinggi dalam aspek integriti alam sekitar, sosial, kewangan dan tadbir urus. Pembeli akan menuntut ketelusan sepenuhnya,” katanya dalam ucapan pada Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon untuk Sabah, di sini, Khamis.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, asas perundangan bagi pembangunan pasaran karbon negeri telah diwujudkan menerusi Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025, yang mengiktiraf secara sah pemilikan hak karbon oleh Kerajaan Negeri serta menetapkan peraturan bagi aktiviti berkaitan karbon, termasuk kelulusan projek dan perdagangan kredit karbon.
Beliau berkata, Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, menyediakan belanjawan karbon negeri untuk kelulusan kementerian dan pewartaan, selain menyelaras usaha antara agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah pula akan menyediakan sokongan teknikal dan operasi kepada SCCAC.
“Secara keseluruhannya, rangka kerja ini menyediakan kepada pelabur satu pintu masuk kawal selia setempat yang telus bagi kelulusan projek dan pensijilan hak karbon,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata Sabah mempunyai inisiatif kredit karbon disahkan berasaskan alam semula jadi yang pertama di Malaysia menerusi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut.
Projek meliputi kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah yang kaya dengan biodiversiti itu dijangka menghasilkan pengurangan pelepasan kira-kira 800,000 tan karbon dioksida (CO2).
Menurut beliau, projek berkenaan menjadi penanda aras bagi inisiatif karbon pada masa hadapan dan telah dinilai sebagai antara yang terbaik dalam kelasnya oleh BeZero Carbon, sebuah agensi penarafan kredit karbon global.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri kini turut membangunkan portfolio aset karbon yang dipelbagaikan merentasi sektor utama termasuk ekonomi biru, pertanian, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, serta pemerangkapan dan penyimpanan karbon.
Dalam sektor ekonomi biru, Sabah mempunyai lebih 340,000 hektar hutan bakau ,kawasan bakau berterusan terbesar di Malaysia.
“Kita mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju serantau dalam ekonomi biru menerusi bioteknologi marin, akuakultur mampan dan pelancongan berasaskan ekosistem marin,” katanya.
Dalam sektor pertanian pula, industri kelapa sawit Sabah yang meliputi hampir 1.5 juta hektar menawarkan peluang bagi pemerangkapan metana serta inisiatif mitigasi iklim lain menggunakan sisa pertanian.
Bagi tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, Hajiji berkata Kerajaan Negeri berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 akan terus memperluaskan penggunaan tenaga solar, hidro, biojisim dan biogas.
“Sabah menyasarkan untuk meningkatkan bahagian tenaga elektrik boleh baharu menjelang 2030 menerusi projek solar, hidro dan biojisim,” katanya.
Beliau berkata, lembangan geologi luar pesisir serta kawasan maritim Sabah juga mempunyai potensi jangka panjang bagi pemerangkapan dan penyimpanan karbon secara geologi — berpotensi meletakkan negeri ini sebagai hab penyimpanan industri penting di peringkat nasional untuk perkhidmatan serantau.
Hajiji berkata, hampir 30 peratus keluasan tanah Sabah telah diwartakan sebagai Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA), yang menyumbang kepada komitmen Malaysia terhadap pemeliharaan biodiversiti dan sasaran pemuliharaan global 2030 di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal.
Menurutnya, berdasarkan data inventori gas rumah hijau, Sabah juga merupakan penyerap bersih karbon utama Malaysia atau negeri karbon negatif, dengan litupan hutan yang luas menyumbang kira-kira 36 peratus kepada kapasiti penyerapan karbon keseluruhan Malaysia.
“Menerusi pengurusan hutan yang inklusif dan diwujudkan melalui kerjasama dengan komuniti tempatan, kita berusaha mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.
“Identiti dan masa depan Sabah berakar umbi dalam warisan semula jadi kita,” katanya.
Hajiji berkata, menerusi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ), Kerajaan Negeri mahu bergerak ke arah pendekatan pemuliharaan yang turut menjana nilai ekonomi secara bertanggungjawab.
“Tugas kita sekarang ialah pelaksanaan iaitu membangunkan projek yang berwibawa, mewujudkan permintaan pasaran, mendapatkan pembiayaan dan memastikan usaha pemuliharaan memberikan nilai yang berkekalan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru institusi kewangan termasuk CIMB Bank Berhad dan Bursa Malaysia, selain pemain industri serta pelabur, bekerjasama membangunkan rangka kerja pembiayaan praktikal bagi merapatkan jurang modal untuk projek karbon yang berwibawa serta menyokong sasaran iklim 2030 di bawah Perjanjian Paris. “Kami menjemput anda untuk bekerjasama dengan kami, melabur di Sabah, menubuhkan operasi teknikal anda di sini dan membuka nilai sebenar modal semula jadi kita,” katanya.

























Add Comment