Home » Sabah perkukuh sektor agromakanan, pastikan bekalan makanan mencukupi
Berita GRS • Politik

Sabah perkukuh sektor agromakanan, pastikan bekalan makanan mencukupi

AGROMAKANAN: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, pada perjumpaan khas membincangkan perkara keutamaan serta status pelaksanaan projek di bawah MAFFI di Bilik Mesyuarat Kementerian Kewangan Sabah, Khamis.

KOTA KINABALU:Kerajaan Negeri akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan sektor agromakanan sebagai antara pemacu penting ekonomi Sabah, di samping memastikan bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, berkata sektor pertanian, perikanan dan industri makanan perlu terus diperkukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perjumpaan khas bersama Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, bagi membincangkan perkara keutamaan kementerian berkenaan, di sini, Khamis.

Menurut Masidi, perbincangan itu turut meneliti status semasa pelaksanaan projek di bawah MAFFI, selain mengenal pasti perkara yang memerlukan perhatian serta tindakan susulan.

“Penyelarasan antara MAFFI dan Kementerian Kewangan (MOF) Sabah penting bagi memastikan perkara yang dikenal pasti dapat dilaksanakan secara teratur serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Masidi berkata, kerjasama erat antara kementerian dan agensi berkaitan perlu terus diperkukuh bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan yang berkesan.

Beliau berkata, pembangunan sektor agromakanan bukan sahaja penting dari sudut pertumbuhan ekonomi, malah mempunyai peranan langsung dalam memastikan bekalan makanan negeri kekal mencukupi.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri kekal komited menjadikan sektor berkenaan sebagai antara pemacu penting dalam memperkukuh ekonomi Sabah dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment