Home » Warisan menentukan siapa kita ,Japlin seru budaya terus dipelihara
Berita GRS • Politik

Warisan menentukan siapa kita ,Japlin seru budaya terus dipelihara

WARISAN: Japlin meninjau pameran artifak dan khazanah budaya Bajau Samah yang dipamerkan sempena Borneo Cultural & Heritage Corner — platform mengetengahkan kepelbagaian warisan masyarakat Borneo.

KOTA KINABALU: Warisan budaya merupakan khazanah tidak ternilai yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi baharu agar identiti masyarakat peribumi Sabah tidak terhakis dalam arus kemodenan.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah, Datuk Japlin Akim, berkata kepesatan pembangunan dan perkembangan dunia digital tidak seharusnya menyebabkan generasi muda semakin jauh daripada akar budaya, adat resam dan jati diri mereka.

“Kita boleh mengejar pembangunan dan kemajuan, tetapi jangan sampai kehilangan identiti sendiri. Budaya melambangkan siapa kita dan dari mana asal kita.

“Generasi muda perlu menjadi pewaris dan penjaga budaya, manakala teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkenalkan warisan kita kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Borneo Cultural & Heritage Corner sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 (PBAKK 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

BERSAMA: Japlin bersama Joseph Pairin dan tetamu kehormat selepas Majlis Perasmian Borneo Cultural & Heritage Corner di SICC, Kota Kinabalu.

Majlis berkenaan disempurnakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan.

Japlin berkata, penganjuran program berkenaan menyediakan platform penting untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya dan warisan masyarakat Borneo, selain menggalakkan usaha merekod serta mendokumentasikan khazanah budaya untuk rujukan generasi akan datang.

Menurutnya, usaha pendokumentasian semakin penting dalam era digital bagi memastikan pengetahuan mengenai adat, bahasa, kesenian dan sejarah masyarakat tempatan tidak hilang apabila berlaku peralihan generasi.

MESRA: Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah, Datuk Japlin Akim (kanan) beramah mesra dengan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan, pada Majlis Perasmian Borneo Cultural & Heritage Corner sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 di SICC.

Beliau berkata, masyarakat Bajau Samah turut memiliki khazanah budaya yang kaya dan bernilai, yang perlu terus dipelihara serta diketengahkan sebagai sebahagian daripada kepelbagaian warisan Sabah.

Menurutnya, teknologi dan platform digital juga boleh dimanfaatkan untuk mendokumentasi, mempromosi dan memperkenalkan warisan masyarakat tempatan kepada khalayak yang lebih luas, khususnya generasi muda.

“Kepelbagaian budaya bukan pemisah, tetapi kekuatan kita.

“Pembangunan boleh mengubah wajah negeri dan teknologi mengubah cara hidup, tetapi warisan serta budaya menentukan siapa kita,” katanya.