KOTA KINABALU:Kerajaan Sabah memperkenalkan Aspirasi Outcome-Based Integrity (OBI) atau Integriti Berasaskan Keberhasilan sebagai pendekatan baharu bagi memperkukuh ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan, telus dan kalis rasuah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pendekatan itu menekankan bahawa setiap instrumen Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah (GIA) perlu menghasilkan keberhasilan nyata yang boleh diukur — bukan sekadar memenuhi keperluan prosedur atau dokumentasi.
Menurutnya, OBI memberi tumpuan kepada tiga teras utama, iaitu pengurangan ketara risiko ketirisan dan penyelewengan, peningkatan kecekapan serta ketelusan penyampaian perkhidmatan awam, selain meningkatkan tahap kepercayaan rakyat dan pelabur.
“OBI membuktikan bahawa tadbir urus berasaskan keberhasilan adalah antara formula penting dalam membina ekosistem pentadbiran yang berdaya tahan dan kalis rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2026 bertemakan “Integriti Memacu Tatakelola Sabah Maju Jaya” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, pendekatan tadbir urus negeri juga tidak lagi bersifat reaktif, sebaliknya bergerak berasaskan formula 3P — Proactive, Predictive and Preventive atau proaktif, prediktif dan pencegahan.
Beliau berkata, pendekatan itu memberi penekanan kepada usaha mengenal pasti dan mencegah risiko berdasarkan penilaian yang nyata sebelum berlakunya ketirisan atau penyelewengan.
“Birokrasi yang tidak teratur adalah antara ruang paling subur kepada gejala rasuah dan budaya mendapatkan wang dengan cara mudah.
“Setiap ringgit dana awam yang dibelanjakan mesti memberikan nilai maksimum secara langsung kepada kesejahteraan rakyat, tanpa susut nilai di tengah jalan,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri komited melaksanakan tiga teras strategik, termasuk memperkasa digitalisasi, analisis data dan wawasan tingkah laku menerusi digital governance, predictive analytics and behavioural insights.
Pada masa sama, OBI akan diinstitusikan dalam sistem penilaian prestasi agensi kerajaan.
Hajiji berkata, ukuran keberhasilan OBI akan dijadikan sebahagian daripada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tahunan bagi semua ketua jabatan dan kepimpinan syarikat kerajaan negeri.
Prestasi pentadbiran pula akan dinilai berdasarkan tahap pengurangan risiko ketirisan serta peningkatan kecekapan penyampaian perkhidmatan.
Kerajaan negeri juga akan memperluas pemerkasaan Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) dan memperkukuh fungsi Unit Integriti bagi membina ekosistem kepimpinan berintegriti dalam kalangan generasi baharu penjawat awam.
Hajiji berkata, integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya menjadi antara asas utama dalam memastikan kejayaan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Menerusi pemantapan pengurusan GIA yang dipacu inisiatif berasaskan keberhasilan, integriti bukan lagi slogan atau retorik moral semata-mata, tetapi teras utama yang memacu kejayaan pelan pembangunan SMJ.
“Integriti adalah enjin penggerak yang memastikan setiap dana awam dan dasar kerajaan memberikan nilai pulangan optimum serta impak nyata kepada rakyat tanpa ketirisan atau penyelewengan,” katanya.
Menurutnya, tahap integriti tinggi dalam kalangan penjawat awam amat penting bagi menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ 2.0 (2026–2030), yang meletakkan Tadbir Urus Berintegriti sebagai salah satu daripada lima Pemboleh Daya Strategik utama.
Beliau berkata, dalam fasa baharu itu, prestasi penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak lagi hanya dinilai menerusi laporan di atas kertas, sebaliknya berdasarkan impak sebenar yang dirasai rakyat.
“Saya menyeru semua penjawat awam supaya terus memperkukuh kerja berpasukan dan mempertahankan etika kerja yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata lebih 2,500 peserta dari seluruh negeri menyertai KITA 2026 yang berlangsung selama dua hari, sekali gus mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh pengurusan GIA di Sabah.
Menurutnya, sejak diperkenalkan pada 2023 dan diteruskan pada 2024, KITA berkembang sebagai platform penting dalam memperkukuh pengurusan integriti, tadbir urus dan antirasuah — selain menjadi landasan kepada usaha menjadikan Sabah sebagai peneraju serta penanda aras dalam bidang berkenaan.
Antara pencapaian yang direkodkan ialah penempatan 10 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) sebagai Ketua Unit Integriti di setiap kementerian negeri.
Selain itu, kerajaan turut membangunkan aplikasi mudah alih i-Adu, sistem i-DIMSS dan i-STANS, manakala 17 pegawai agensi Kerajaan Negeri Sabah berjaya memperoleh Certification in Professional Integrity Assurance and Management (CPIAM) daripada Universiti Sains Malaysia (USM).
Di peringkat nasional, Bahagian Integriti dan Governans Negeri Sabah (BIGoNS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, turut menerima pengiktirafan UNGGUL dalam pensijilan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) oleh Institut Integriti Malaysia (IIM).

























Add Comment