Home » MA63 ,kestabilan politik, pembangunan Sabah kekal keutamaan GRS
Berita GRS • Politik

MA63 ,kestabilan politik, pembangunan Sabah kekal keutamaan GRS

KESTABILAN: Mohd Razali menegaskan kestabilan politik merupakan asas penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan dan perjuangan MA63.

KOTA KINABALU:Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengalu-alukan usaha memperkukuh kerjasama politik dengan UMNO Sabah, demi memastikan kestabilan politik, kelancaran pentadbiran dan kesinambungan pembangunan negeri.

Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohd Razali Razi, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, dan Setiausaha Politik kepada Ketua Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi, berhubung usaha memperkukuh hubungan kerjasama dengan GRS.

Beliau berkata kerjasama antara GRS, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) serta rakan politik lain dalam Kerajaan Negeri Sabah ketika ini penting bagi menjamin kestabilan politik dan memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lancar.

Menurutnya, keberkesanan kerjasama itu dapat dilihat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Januari lalu.

Mohd Razali berkata kesepaduan jentera parti serta persefahaman dalam kalangan rakan politik menyumbang kepada kemenangan dengan majoriti besar di kedua-dua kerusi berkenaan.

Menurutnya, pencapaian itu memperlihatkan potensi kerjasama politik yang berteraskan persefahaman dan semangat kebersamaan.

Mohd Razali berkata keutamaan GRS ketika ini ialah memperkukuh kerjasama sedia ada dengan BN, PH serta rakan politik lain dalam Kerajaan Negeri Sabah.

Menurutnya, GRS akan terus memelihara hubungan tersebut berlandaskan kepercayaan, persefahaman dan sikap saling menghormati.

Beliau turut menegaskan kestabilan politik merupakan asas penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan, memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), serta mempertahankan hak dan kepentingan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata kerjasama politik yang kukuh dan konstruktif penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat Sabah terus menjadi keutamaan.