KOTA MARUDU: Prestasi pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, perlu dinilai berdasarkan rekod pencapaian, perkembangan ekonomi dan manfaat pembangunan yang diterima rakyat, bukannya semata-mata persepsi politik.
Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ekonomi Kota Marudu (PERKOM) merangkap Ketua Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tandek, Dato’ Dr. Janathan Kandok berkata, dakwaan pihak tertentu yang melabelkan pentadbiran GRS sebagai gagal perlu diteliti secara objektif dengan mengambil kira pencapaian kerajaan sepanjang tempoh pentadbirannya.
Menurutnya, penilaian terhadap sesebuah kerajaan seharusnya berasaskan data yang sahih, keberkesanan dasar serta impak sosioekonomi yang dapat dirasai masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi.
“Matematik pembangunan tidak pernah berbohong. Prestasi sesebuah kerajaan mesti dinilai berdasarkan fakta, pencapaian sebenar dan tahap kesejahteraan rakyat, bukan sekadar retorik atau persepsi politik menjelang pilihan raya,” katanya.
Janathan berkata, pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) merupakan antara pendekatan strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh kedudukan ekonomi Sabah, meningkatkan hasil negeri serta memperluas manfaat pembangunan kepada rakyat.
Beliau berkata, usaha memperkukuh penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) turut mencerminkan langkah kerajaan negeri meningkatkan kepentingan ekonominya dalam sektor berkenaan.
Katanya, antara perkembangan penting termasuk penyertaan ekuiti strategik Sabah dalam beberapa aset dan projek minyak dan gas, selain pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) antara Kerajaan Negeri Sabah dengan PETRONAS.
“Perkembangan ini menunjukkan usaha kerajaan negeri memperkukuh penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas serta memastikan sumber negeri dapat memberikan pulangan ekonomi yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.
Mengulas kedudukan kewangan negeri, Janathan berkata, peningkatan kutipan hasil tahunan dan rizab kewangan Sabah sepanjang pentadbiran GRS turut wajar diambil kira dalam menilai prestasi pengurusan fiskal kerajaan.
Menurutnya, kedudukan kewangan yang lebih kukuh memberikan ruang kepada kerajaan untuk meneruskan pelbagai inisiatif pembangunan dan kebajikan rakyat.
“Apabila hasil negeri meningkat dan kewangan kerajaan semakin kukuh, lebih banyak program pembangunan serta bantuan kepada golongan memerlukan dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata, antara inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat termasuk pembinaan Rumah Mesra SMJ, bantuan tunai melalui Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), pembiayaan pendidikan dan pembangunan modal insan serta penambahbaikan prasarana sosioekonomi.
Janathan berkata, pelaksanaan program seumpama itu penting bagi memastikan hasil pembangunan negeri turut dinikmati masyarakat luar bandar, termasuk penduduk di Kota Marudu dan kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, beliau yakin rakyat Sabah semakin matang dalam menilai prestasi kepimpinan berdasarkan pelaksanaan dasar, penyampaian perkhidmatan serta keberkesanan usaha menangani keperluan masyarakat.
Katanya, perbezaan pandangan politik merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, namun perbahasan mengenai prestasi kerajaan seharusnya berpandukan fakta dan pencapaian yang boleh dinilai. “Kerajaan GRS perlu terus memberi tumpuan kepada amanah mentadbir negeri, memperkukuh ekonomi dan memastikan kekayaan sumber Sabah dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

























Add Comment