KOTA KINABALU:Kerajaan Sabah akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), bagi merancakkan pembangunan industri pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata kerjasama erat antara kedua-dua pihak penting bagi memastikan usaha promosi dan pembangunan sektor pelancongan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan — sekali gus menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa ke Sabah.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man, bersama delegasi MOTAC di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji berharap sokongan berterusan MOTAC dapat membantu Kerajaan Negeri memperluas promosi destinasi pelancongan serta memperkukuh kedudukan Sabah sebagai antara destinasi pilihan pelancong.
Menurutnya, penganjuran Tahun Melawat Sabah 2027 merupakan platform penting untuk meningkatkan daya tarikan negeri, merancakkan aktiviti industri pelancongan tempatan dan memperkukuh sumbangan sektor berkenaan kepada pertumbuhan ekonomi Sabah.
Pada pertemuan itu, beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan usaha antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan, bagi memastikan pelbagai inisiatif pembangunan serta promosi pelancongan dapat memberikan manfaat kepada industri dan ekonomi negeri.
Kunjungan berkenaan turut menjadi platform bagi MOTAC memberikan taklimat mengenai program dan inisiatif kementerian yang sedang dilaksanakan di Sabah, selain membincangkan perkembangan serta usaha memperkukuh industri pelancongan negeri.
Delegasi MOTAC turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Chua Choon Hwa; Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim; Setiausaha Bahagian Dasar Pelancongan dan Hubungan Antarabangsa, Yong Ee Chin; serta Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan, Dr. Johnny Anak Andrew.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Pembangunan Prasarana, Mohd Khairul Kassim; dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Pembangunan Industri, Aznida Abd Raghni.

























Add Comment