Home » Warisan Kraf Sabah perlu dimajukan sebagai sumber ekonomi: Hajiji
Berita GRS • Politik

Warisan Kraf Sabah perlu dimajukan sebagai sumber ekonomi: Hajiji

PEMERKASAAN KRAF: Mohd Arifin menyampaikan geran Program SURIA kepada Persatuan Kraftangan Beluran (D’Gosing) — sebahagian daripada usaha memperkukuh pembangunan industri kraf dan keusahawanan masyarakat setempat, Rabu.

KOTA KINABALU:Sebanyak RM47.2 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 1,066 program pembangunan industri kraf oleh Pusat Kraftangan Sabah (PKS) sejak 2011 hingga tahun ini, memberikan manfaat kepada 22,038 peserta di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pembangunan industri kraf bukan sekadar usaha memelihara warisan budaya, malah berperanan membuka peluang keusahawanan dan meningkatkan pendapatan masyarakat.

“Angka ini menunjukkan pembangunan industri kraf bukan sekadar memelihara khazanah, tetapi turut membuka ruang ekonomi kepada rakyat,” katanya dalam teks ucapan sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah Sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif.

Bagi tahun ini sahaja, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 29 program yang menyasarkan penyertaan 200 peserta.

Hajiji, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, berkata warisan budaya Sabah seperti tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan serta seni manik perlu terus dipelihara dan dikembangkan oleh generasi muda — seiring perubahan teknologi dan kehendak pasaran.

Menurutnya, pendidikan, latihan kemahiran, bimbingan keusahawanan dan akses pasaran perlu digerakkan secara bersepadu, supaya kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan pendapatan.

“Anak-anak Sabah perlu diberikan ilmu serta kemahiran untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan mengambil peluang,” katanya.

Beliau berkata usaha memperluas pasaran produk kraf Sabah turut menunjukkan perkembangan positif, apabila hasil batik dan cetakan digital PKS diketengahkan pada peragaan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026.

Kerjasama strategik industri juga diperkukuh menerusi memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah — menerusi PKS — dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Selain itu, Yayasan Sabah turut menerima surat hasrat (Letter of Intention, LOI) daripada Politeknik Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn Bhd bagi meneroka peluang kerjasama.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata penglibatan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam PKAN turut memperluas peluang pembangunan modal insan — khususnya dalam bidang teknologi, keusahawanan dan kebolehpasaran pekerjaan.

Menurutnya, KTYS melaksanakan 93 program dengan peruntukan RM15.01 juta sepanjang 2016 hingga 2026, membabitkan 1,936 peserta.

Antara inisiatif yang mencatat pencapaian memberangsangkan ialah Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM), yang meningkatkan kadar kelulusan Matematik dan Sains daripada 35 peratus kepada 98 peratus dalam SPM 2025.

Susulan pencapaian itu, penyertaan program diperluas daripada 200 pelajar di tiga sekolah kepada 300 pelajar di enam sekolah pada tahun ini.

Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) turut membantu meningkatkan pendapatan golongan rentan menerusi latihan pemprosesan makanan berasaskan hasil laut — dengan 43 daripada 89 peserta berjaya mencatat peningkatan pendapatan.

Sementara itu, UCSF melaksanakan 11 program di bawah inisiatif Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) bagi PKAN Sabah 2026, melibatkan peruntukan RM750,000 dan penyertaan 314 peserta.

Antaranya Program Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC), yang membolehkan 13 pelajar menjalani latihan kerja selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) serta klinik swasta di Sabah.

UCSF turut melaksanakan sembilan program menerusi inisiatif BRIDGE, merangkumi bidang seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.

Program jangkauan berkenaan memberikan manfaat kepada 292 peserta dari Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kinabatangan.

Secara keseluruhan, UCSF melaksanakan 85 program dengan peruntukan RM11.7 juta bagi tempoh 2015 hingga 2025, memberikan manfaat kepada 1,842 peserta. Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh pembangunan berteraskan rakyat, bagi memastikan peluang pendidikan, latihan kemahiran dan ekonomi dapat diperluas kepada masyarakat di seluruh Sabah.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment