Home » 158 bekas ahli Parti KDM sertai Gagasan Rakyat di Matunggong
Berita Gagasan Rakyat • Politik

158 bekas ahli Parti KDM sertai Gagasan Rakyat di Matunggong

UCAPAN: Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu, Sarapin Magana, ketika berucap pada majlis penerimaan 158 bekas ahli Parti KDM dan penubuhan tiga cawangan baharu di Kampung Terongkongan Darat, Matunggong, Sabtu.

KOTA MARUDU: Seramai 158 bekas ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Matunggong menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menerusi penubuhan tiga cawangan baharu di Kampung Terongkongan Darat, Kampung Minyak dan Kampung Tinutudan.

Majlis penerimaan keahlian dan penubuhan cawangan berkenaan berlangsung di Kampung Terongkongan Darat, hari ini, dengan penyertaan 50 ahli dari Kampung Terongkongan Darat, 52 dari Kampung Minyak dan 56 dari Kampung Tinutudan.

Kampung Terongkongan Darat dan Kampung Minyak terletak dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Terongkongan, manakala Kampung Tinutudan berada dalam PDM Lajong.

Penyertaan ahli baharu itu diterima oleh Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kota Marudu, Sarapin Magana, yang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai langkah positif dalam memperkukuh organisasi parti di peringkat akar umbi.

Dalam ucapannya, Sarapin mengalu-alukan penyertaan kumpulan berkenaan dan berkata keputusan mereka mencerminkan keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kemasukan ahli daripada tiga cawangan ini membuktikan rakyat melihat sendiri usaha dan komitmen kerajaan GRS dalam membawa pembangunan serta menyalurkan bantuan kepada masyarakat.

“Kami bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Kami akan terus bekerja dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Mengulas perkembangan politik setempat, Sarapin berkata, keputusan pilihan raya negeri lalu menunjukkan persaingan sengit di PDM Terongkongan dan PDM Lajong, apabila calon GRS tewas dengan perbezaan masing-masing tujuh undi dan satu undi.

Beliau berharap penyertaan ahli baharu itu dapat memperkukuh gerak kerja parti serta meningkatkan sokongan masyarakat terhadap GRS menjelang pilihan raya akan datang.

Sementara itu, wakil bekas ahli Parti KDM yang menyertai Gagasan Rakyat berkata, keputusan mereka dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kemampuan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan dan menyediakan bantuan kepada masyarakat.

Menurut wakil berkenaan, mereka juga tidak lagi berpuas hati dengan kepimpinan terdahulu kerana berpendapat keperluan pembangunan masyarakat setempat belum ditangani seperti yang diharapkan.

Mereka berpandangan bahawa masyarakat kini lebih mengutamakan pelaksanaan program dan hasil pembangunan yang dapat dilihat berbanding janji politik semata-mata.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarapin berkata, Gagasan Rakyat Kota Marudu sedang melaksanakan penstrukturan semula cawangan susulan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tahun ini.

Katanya, langkah berkenaan bertujuan memperkemas struktur organisasi, memperkukuh penyelarasan gerak kerja serta meningkatkan keberkesanan khidmat parti kepada masyarakat.

Beliau turut mengalu-alukan penyertaan individu yang berminat menyertai Gagasan Rakyat dan menyatakan keyakinan bahawa usaha memperkukuh organisasi di peringkat akar umbi dapat membantu parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Turut hadir ialah Ketua Daerah Matunggong, OKK Somuil Mojiun; Ketua Kampung Terongkongan Darat dan Kampung Minyak; Naib Ketua Bahagian, Mohamad Isahak Awang; Naib Ketua Pergerakan Wanita Bahagian Dr. Davina Datuk Markus; Naib Ketua Pemuda Bahagian, Clement Sarapin; Setiausaha Bahagian, Lagason Gampong; dan Bendahari Bahagian, Rico Ongikal. Hadir sama Ahli Jawatankuasa Bahagian, Dr. Jurin Gunsalam, Singan Lingkubang, Masikong Maluk, Ijap Yakim, Jimin Masaya, Marius Donsilin dan Raimun Mangantal.