Home » Lima usul belia Sabah diketengahkan ke peringkat nasional
Berita GRS • Politik

Lima usul belia Sabah diketengahkan ke peringkat nasional

PEMBANGUNAN BELIA: Nizam (tengah) bergambar kenangan bersama peserta Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah yang membincangkan isu pendidikan, keusahawanan, TVET dan kebajikan golongan muda.

KOTA KINABALU:Lima usul utama merangkumi pendidikan dan keselamatan diri, keusahawanan digital, latihan kemahiran, tambang penerbangan serta bantuan yuran peperiksaan belia Sabah akan diketengahkan ke peringkat nasional untuk pertimbangan dan tindakan lanjut pihak berkaitan.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usul yang dibentangkan pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah itu mencerminkan keperluan sebenar serta aspirasi golongan muda di negeri ini.

Menurutnya, cadangan berkenaan mengambil kira cabaran yang dihadapi belia di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman — bagi memastikan agenda pembangunan belia dilaksanakan secara lebih inklusif dan menyeluruh.

“Semua usul ini akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, termasuk untuk perhatian Ketua Menteri Sabah dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia selaku Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara.

“Usul-usul ini amat dekat dengan kehidupan belia Sabah. Kita berharap setiap cadangan dapat diberikan pertimbangan sewajarnya dan dilaksanakan sekiranya bersesuaian, demi memenuhi aspirasi golongan muda,” katanya.

Usul pertama merangkumi usaha memperkukuh pendidikan, kesihatan, keselamatan diri dan pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia.

Usul kedua pula mencadangkan penubuhan hab keusahawanan digital dan agropreneur belia, manakala usul ketiga menyentuh penyediaan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan keperluan serta potensi ekonomi setiap daerah.

Dua usul lain ialah penyelarasan semula kadar tambang penerbangan bagi belia Sabah, dan peluasan bantuan yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).

Mengulas isu tambang penerbangan, Nizam berkata kos perjalanan yang tinggi menjadi antara cabaran utama belia Sabah — khususnya mereka yang perlu ke Semenanjung Malaysia bagi menyertai program pembangunan, aktiviti dan urusan rasmi.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan penyelarasan kadar tambang itu dapat diberikan perhatian bagi meringankan beban kewangan golongan muda, serta memperluas peluang penyertaan mereka dalam pelbagai program di peringkat nasional.

Dalam aspek pembangunan kemahiran pula, Nizam menegaskan kepentingan menawarkan kursus TVET yang bersesuaian dengan potensi ekonomi dan keperluan industri setempat.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja dapat meningkatkan kebolehpasaran belia, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan, keusahawanan dan penjanaan pendapatan di daerah masing-masing.

Nizam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan persidangan berkenaan, khususnya Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Majlis Belia Sabah serta Jabatan Belia dan Sukan Sabah.

Beliau berharap segala pandangan dan cadangan yang diketengahkan menerusi platform perundingan itu dapat diterjemahkan kepada inisiatif yang memberikan manfaat nyata kepada pembangunan belia Sabah.

About the author

Elle ABT

Add Comment

Click here to post a comment